Home Hiburan SHAHRONIZAM REDA, TUNGGU KEPUTUSAN 27 NOVEMBER

SHAHRONIZAM REDA, TUNGGU KEPUTUSAN 27 NOVEMBER

221
0

AMPANG: “Semua orang akan mati. Mati itu pasti… apa juga keputusan pada 27 November ini, saya sudah bersedia dan reda.”

Demikian luahan pelakon, Shahronizam Noor, 53, yang kini menunggu keputusan rasmi biopsi bagi menentukan sama ada ketumbuhan pada bahunya adalah kanser atau sebaliknya.

Walaupun masih belum mengetahui status sebenar penyakitnya, Shahronizam tetap tenang dan positif menerima ujian tuhan, biarpun secara fizikal dan mental dia sedang menanggung kesakitan.

Suami kepada pelakon dan penyanyi, Safura Yaacob, itu baru sahaja menjalani pembedahan membuang tumor serta sebahagian tulang belikat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 29 Oktober lalu.

Hakikatnya, di sebalik senyumannya, pelakon itu terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit bagi menahan denyutan pada kawasan pembedahan.

Pergerakan tangan kanannya juga masih terhad, sehingga menjejaskan rutin harian, termasuk memandu dan tidur.

“Saya tak boleh gunakan tangan kanan terlalu lasak kerana ia akan menyebabkan kesakitan pada bahagian pembedahan.

“Doktor tak galakkan saya buat kerja berat, tapi kadang-kadang bila sibuk uruskan rumah dan anak-anak, saya terlupa.

“Dua hari ini saya terpaksa ambil ubat tahan sakit sebab kawasan pembedahan terasa seperti disengat. Tidur pun perlu mengiring ke kiri,” katanya ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu reda jika keputusan biopsi nanti tidak seperti yang diharapkan.

“Jika keputusan tak cantik, mungkin saya perlu jalani rawatan radioterapi hujung November atau awal Disember.

“Tapi radioterapi hanya boleh dibuat selepas luka pembedahan pulih sepenuhnya.

“Doktor ortopedik maklumkan buat masa ini kemoterapi tidak termasuk dalam perancangan harap-harap begitulah,” ujarnya.

Shahronizam kini berehat sementara daripada bidang lakonan dan dijangka kembali ke set pada Disember, namun semuanya bergantung kepada keputusan biopsi.

Terdahulu, Shahronizam menerima kunjungan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, menerusi program Ziarah Prihatin SENIMAN. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here