SHAH ALAM: Kelab Bolasepak Selangor (SFC) terus mengutamakan pembangunan bakat tempatan walaupun pendekatan secara hibrid dilaksanakan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata seiring dengan pemodenan industri bola sepak di dalam dan luar negara, SFC turut merekrut pemain warisan yang mendapat pendedahan bertaraf antarabangsa bagi mengukuh dan meningkatkan prestasi pasukan Selangor dalam kejohanan bola sepak di peringkat domestik serta Asia.
“Pihak SFC percaya pendekatan hibrid ini adalah lebih mampan, mampu meningkatkan daya saing pasukan ke peringkat yang lebih tinggi serta memelihara kebanggaan dan identiti pasukan ini dalam kalangan rakyat Selangor,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) sama ada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan mengambil pendekatan seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merekrut pemain bola sepak warisan negara.
Memetik laporan menerusi Harian Metro, Mohd Najwan berkata walaupun pengambilan pemain warisan yang berkualiti Eropah akan meningkatkan kualiti pasukan Selangor namun ia akan meningkatkan jumlah perbelanjaan pasukan dengan mendadak serta memberi kesan negatif kepada imej serta identiti bola sepak tempatan.
Katanya, bagi menyelesaikan permasalahan apabila mengambil terlalu ramai pemain warisan, pelbagai inisiatif dan penyelarasan perlu dijalankan di peringkat akar umbi agar jurang perbezaan kualiti di antara pemain warisan dan tempatan dapat dikurangkan.
“Pihak SFC bersama FAS dan kerajaan negeri telah bekerjasama dengan rapat dalam mengukuh serta memperkasakan sistem pembangunan bola sepak di Selangor.
“Program pembangunan jurulatih, pengadil dan pasukan bola sepak amatur serta penganjuran liga bola sepak peringkat negeri yang sistematik buat pelbagai peringkat umur oleh FAS membina asas yang kukuh untuk pemain tempatan mengembangkan bakat.
“Pihak SFC pula memberi penekanan terhadap program pencarian bakat serta pembangunan jurulatih tempatan elit serta bertaraf antarabangsa bagi membolehkan pemain-pemain tempatan terbaik di setiap peringkat umur dapat dikenal pasti dan diberi latihan bertaraf tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata SFC banyak menjalinkan hubungan strategik bersama kelab-kelab bola sepak profesional di Eropah dan Asia bagi membolehkan pemain tempatan terbaik Selangor menjalani latihan dan mendapat pendedahan bertaraf antarabangsa bagi merapatkan jurang di antara pemain tempatan serta pemain asing. – HMetro Online –
IMedikel TV






