MANCHESTER: Penyerang baharu Manchester United, Benjamin Sesko, sedia untuk beraksi tetapi belum pasti sama ada dia akan berada dalam kesebelasan utama.
Man United akan memulakan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal di Old Trafford malam esok.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, penyerang Slovenia itu menyertai United dari RB Leipzig hujung minggu lalu dengan yuran perpindahan 76.5 juta euro (RM392 juta) serta bonus 8.5 juta euro (RM44 juta).
United kendalian Ruben Amorim membelanjakan sekitar 200 juta pound (RM1.13 bilion) pada jendela perpindahan musim panas ini selepas menamatkan musim lalu di tangga ke-15.
“Kami tidak mempunyai banyak masa tetapi dia sudah bersedia, secara fizikal dia memang bersedia, dan itu adalah komponen penting dalam liga kami.
“Dia juga bijak… dia sudah bersedia untuk bermain, tetapi kita akan lihat sama ada dia akan memulakan permainan atau tidak,” kata Amorim.
Amorim berkata United, yang mencatat keputusan terburuk dalam liga utama England sejak musim 1973-1974, akan memulakan kempen 2025-2026 dengan sasaran kembali ke pentas Eropah.
“Kita tidak boleh mengubah segalanya dalam masa empat minggu, tetapi kami sudah menjadi lebih baik. Kami berlatih lebih keras dan lebih bersedia untuk menghadapi tuntutan perlawanan.
“Kami mahu kembali ke Eropah. Kami perlu realistik dengan penyokong. Kami perlu berjuang bersungguh-sungguh kerana ada pasukan lain yang sudah lama bersama berbanding kami.
“Fokus kami adalah perlawanan demi perlawanan. Kami mahu menang menentang Arsenal,” katanya.
Perlawanan Ahad ini akan menemukan Amorim dengan salah seorang pemain paling berjaya dalam karier kejurulatihannya – bekas penyerang Sporting, Viktor Gyokeres, yang menyertai Arsenal pada musim panas ini.
Penyerang Sweden itu, yang dibawa ke Sporting pada tahun 2023 di bawah Amorim, menjadi penjaring terbanyak Primeira Liga untuk dua musim berturut-turut yang menyaksikan mereka muncul juara liga.
“Viktor berada dalam liga yang berbeza. Sporting mempunyai sistem pencarian bakat yang baik kerana mereka bergantung kepada pemain yang boleh dibeli dan dijual untuk kelangsungan kelab.
“Dia pemain yang sangat bagus. Tidak mengejutkan saya apabila melihat dia bersama kelab besar di England,” tambahnya.
Pengendali itu turut mengesahkan pertahanan Lisandro Martinez dan Noussair Mazraoui tidak dapat diturunkan hujung minggu ini, namun penyerang Joshua Zirkzee dan penjaga gol Andre Onana sudah pulih dan boleh diturunkan menentang Arsenal. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






