Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 13 ‘Bayi Merdeka’ dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bermula 12.14 pagi sehingga 10 pagi, semalam.
Pengarah HRPZ II Dr Izamin Idris berkata, pihaknya telah menganjurkan Program Sambutan Bayi Merdeka 2024 sempena Hari Kemerdekaan yang ke-67.
Menurutnya program berkenaan merupakan acara tahunan hospital sebagai tanda kesyukuran terhadap kelahiran generasi baru yang bakal mewarisi kepemimpinan Malaysia pada masa hadapan.

“Bermula dari 12.14 pagi semalam pihak kami telah menerima seramai 13 kelahiran bayi merdeka iaitu lima lelaki dan lapan perempuan sehingga jam 10 pagi (semalam).
“Pada kesempatan ini, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bank Rakyat Cawangan Kota Bharu yang turut sama berbesar hati dan bekerjasama dalam menjayakan Program Sambutan Bayi Kemerdekaan ini,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Sebelum itu, program berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) HRPZ II, Dr Nik Unaizah Nik Abdullah dan warga Jabatan O&G.
IMedikel TV






