Home Buletin Semasa SEPASANG KEKASIH MENGAKU TIDAK BERSALAH SUBAHAT ROMPAK BARANG KEMAS LEBIH RM5.7 JUTA

SEPASANG KEKASIH MENGAKU TIDAK BERSALAH SUBAHAT ROMPAK BARANG KEMAS LEBIH RM5.7 JUTA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Sepasang kekasih dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan merompak barangan kemas bernilai RM5,755,000 dan bersubahat dengan perbuatan itu di sebuah kedai pajak gadai, di sini, Selasa lalu.

Tertuduh, Wee Chin Ooi, 49, dan Wee Fei Fang, 47, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan memohon bicara selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Mengikut pertuduhan, Chin Ooi didakwa merompak barang kemas bernilai anggaran RM5,755,000 dan semasa melakukan rompakan tersebut, tertuduh menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita di kedai pajak gadai, Aik Lee Jaya Sdn Bhd, di sini, kira-kira jam 1.00 tengah hari, 21 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan atau penjara.

Manakala dalam pertuduhan berasingan, Fee Fang pula didakwa bersubahat merompak barang kemas tersebut pada lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 dibaca bersama Seksyen 397 dan Seksyen 109 Kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aysha Na’ilah Harizan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Maalinni K Manimaran dari Tetuan Geethan Ram.

Mahkamah menetapkan 6 November depan untuk serahan dokumen dan tiada sebarang jaminan untuk kedua-dua tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan pengurus premis pajak gadai dan teman lelakinya ditahan selepas dipercayai menjadi dalang rompakan di premis tempat dia bekerja dengan melarikan barang kemas bernilai RM5,755,000, di sini, Selasa lalu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here