Home Hiburan SENJA SAKSI CINTA FATTAH, AMIRA

SENJA SAKSI CINTA FATTAH, AMIRA

399
0

KUALA LUMPUR: Bersaksikan langit senja yang berbalam jingga keemasan bersulam alunan ombak yang mendamaikan, esok bakal menjadi detik bersejarah buat pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman apabila mereka disatukan dalam sebuah majlis pernikahan berkonsepkan Zaus iaitu simbolik kepada pasangan yang ditakdirkan Ilahi.

Memetik laporan menerusi Berita Harian majlis yang diatur dengan penuh teliti ini bukan sekadar meraikan dua hati yang dipertemukan jodoh, tetapi turut menjadi hadiah buat peminat dan klien yang selama ini berdiri teguh menyokong perjalanan kerjaya Fattah dan Amira.

Menurut pengurus Fattah, Sakirin Acha atau Acha, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu pada awalnya hanya mahukan sebuah majlis ringkas.

“Fattah seorang yang ringkas, kalau boleh dia mahu bernikah di surau taman rumahnya. Tetapi sebagai seorang figura yang dikenali ramai, majlis ini perlu diberi nafas meriah.

“Bukan kerana statusnya semata-mata, tetapi sebagai tanda menghargai klien dan peminat yang sentiasa bersama,” katanya menerusi program Setulus Takdir Fattah Amira yang disiarkan di Unifi TV.

Namun, di sebalik kemeriahan persiapan, Acha mengakui tidak semuanya berjalan mudah.

Bakal pengantin itu dilihat cukup tenang, sehingga perkara penting seperti cincin dan hantaran hanya sempat dibeli di saat akhir.

“Alhamdulillah semua persiapan seperti pelamin, baju dan lokasi berjalan lancar. Cuma, perkara penting seperti cincin dan hantaran pula masih belum dibeli ketika hampir ke tarikh majlis,” katanya sambil tertawa kecil.

Fattah pula mengakui kekangan masa menjadi cabaran besar buatnya.

“Memang benar, cincin nikah kami dibeli di hujung waktu kerana nak mencari masa bersama Amira sangat mencabar. Tetapi bagi saya, nilai cinta itu bukan pada cincin, sebaliknya pada akad yang bakal menyatukan kami,” katanya penuh makna.

Majlis yang mendapat sentuhan eksklusif daripada perancang perkahwinan terkenal, Reka Teemor milik pasangan Faiz Sabari dan Rozana Mumtaz, dijangka menjadi antara acara perkahwinan paling dinanti tahun ini.

Faiz menjelaskan, konsep Zaus yang bermaksud My Divine Pair atau pasangan yang ditakdirkan Allah, dipilih sebagai cerminan suci ikatan pasangan itu.

“Selain berlatar matahari terbenam yang romantik, kami mahu menampilkan ciri-ciri Islamik yang ringkas tetapi bermakna.

“Pelamin dihias dengan keindahan seni Islam, bukan sekadar untuk indah dipandang, tetapi juga agar majlis ini menyentuh jiwa.

“Kad undangan, dekorasi dan lokasi semuanya diselarikan dengan tema laut dan senja, bagi menonjolkan keindahan momen yang tidak mungkin dilupakan.

“Kami juga sengaja meletakkan elemen tangga tinggi yang ditransformasi menjadi ruang duduk eksklusif, tempat bergambar yang bakal dikenang selamanya,” kongsi Faiz.

Sebelum ini, Fattah mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan Amira pada tarikh lahirnya, 14 September, iaitu esok.

Pengumuman itu dibuat ketika majlis pelancaran single baharu Amira bersama adiknya, Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir pada 8 September lalu.

Khabar mengenai Fattah bakal menamatkan zaman duda mula bertiup kencang di media sosial selepas seorang pengguna Threads mendakwa memperoleh maklumat daripada sumber terdekat.

Fattah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Nur Fazura pada 27 November 2017, namun jodoh mereka berakhir pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia lima tahun. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here