Lagu berjudul Sejarah menjadi buat tangan istimewa Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza Tarudin sebelum menutup tirai 2024.
Masih segar dengan pengiktirafan cukup besar dalam karier seni penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu apabila diumumkan antara penerima anugerah khas sempena Anugerah Seni Negara 2024 pada malam Rabu lalu.
Lagu Sejarah ciptaan maestro muzik dari Indonesia, Erwin Gutawa mempunyai keunikan tersendiri dalam karier Siti Nurhaliza yang menghampiri tiga dekad terbabit dalam industri muzik.
Karya terbabit juga menyaksikan gandingan Erwin Gutawa bersama anak perempuannya, Gita Gutawa selaku penulis lirik.
Menurut Erwin, lagu Sejarah diciptakan khusus buat Siti Nurhaliza dengan membayangkan keindahan nyanyian serta personaliti yang ada pada penyanyi itu.
Erwin meminta Gita menulis lirik berkisarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan memaknakan kesyukuran di dalam setiap bait kata yang diungkapkan.
Lebih istimewa, Erwin menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk mengiringi susunan muzik yang digarap indah khusus untuk Siti Nurhaliza.
Besar harapan Siti agar single terbaru berkenaan akan mendapat tempat di hati peminat.
Single terbitan SN Legacy Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini boleh distrim dan dilanggan di seluruh pelantar digital bermula 14 November 2024.
Bagi Siti, Sejarah lagu yang sangat istimewa apabila kembali dapat berganding bahu dengan Erwin Gutawa dalam sebuah lagu.
Beliau sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seninya.
“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya.
“Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,” ujar Siti.
Siti juga berterima kasih kepada Aubrey Suwito yang membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur. – HMetro Online –
IMedikel TV






