Home Buletin Semasa ‘SAYA MEMANG SIAP SEDIA HADAPI BANJIR SEJAK BULAN 10 LAGI’

‘SAYA MEMANG SIAP SEDIA HADAPI BANJIR SEJAK BULAN 10 LAGI’

58
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: “Saya memang siap sedia hadapi banjir sejak bulan 10 lagi,” kata seorang warga emas yang sudah lali melalui detik cemas setiap kali kediamannya dinaiki air.

Rohani Jaya, 62, dari Kampung Banggol Kong berkata, setiap kali tiba musim banjir, langkah pertama yang dibuat ialah menggantung barang serta peralatan penting pada dinding bagi mengelakkan ia rosak atau hanyut.

“Semua barang yang boleh digantung, memang saya letak di situ, bukan semua boleh dibawa keluar bersama kita.

“Banjir 2014 betul-betul mengajar saya, masa itu saya tengah kemas barang, tiba-tiba air melimpah mendadak memang tak sempat selamatkan apa-apa.

“Tahun ini, alhamdulillah saya bersedia lebih awal,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong, di sini, hari ini.

Menurut Rohani, jika waktu kecil banjir dianggap seperti permainan, kini setiap kali musim itu tiba, hatinya tidak tenang kerana memikirkan keselamatan ibunya, Siti Esah Seman, 79.

“Bagaimanapun, saya sahaja yang pindah ke PPS, ibu saya sudah selamat dan tinggal di rumah adik saya manakala anak lelaki saya tinggal di Kota Bharu, dia memang ajak saya tinggal bersamanya, tapi kita orang tua bosan sebab anak bekerja.

“Setakat ini sudah tiga hari saya di sini menunggu air di rumah surut,” katanya.

Rohani berkata, sepanjang berada di PPS, dia dapat mengurangkan rasa sunyi kerana boleh berkongsi pengalaman dengan mangsa lain.

Mengimbau pengalaman lalu, Rohani berkata sebelum ini, dia pernah dua kali berulang masuk ke PPS kerana rumahnya dinaiki air, selain juga pernah menetap di PPS Machang hampir sebulan ketika banjir 2014.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here