Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TANAH MERAH: Seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya di Kampung Paku, Gual Ipoh, pagi tadi sebelum mengambil anaknya di sekolah dan menyerahkan diri di balai polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, suspek berusia 63 tahun dipercayai menikam isterinya, Mastura Abdullah, 40, di bahagian dapur rumah.
Adik mangsa, Mohd Jony Abdullah, 30, berkata kejadian hanya disedari keluarga selepas polis tiba di lokasi.
Katanya, arwah kakaknya baru pulang dari Selangor sekitar jam 8 pagi dengan menumpang lori sepupu sebelum dijemput adik bongsunya di Machang.
Jelasnya, mangsa merupakan isteri ketiga suspek dan mereka sudah berkahwin sejak 14 tahun lalu.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku selepas bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.
IMedikel TV






