PETALING JAYA: “Saya tak ambil hati dan maafkan dia. Kita pun minta maaf kalau premis kita ganggu laluan trafik.”
Memetik laporan Berita Harian, itu reaksi usahawan dan pempengaruh media sosial, Datuk Seri Aliff Syukri terhadap teguran Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang membangkitkan isu kesesakan lalu lintas di Kota Damansara, Petaling, baru-baru ini.
Aliff yang memiliki premis perniagaan, iaitu Wisma D’Herbs di lokasi dibangkitkan Ahmad Idham, enggan memperbesarkan isu yang timbul, sebaliknya sedia bersemuka dengan penerbit dan pengarah itu bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Sebenarnya, saya tidak mahu komen lebih-lebih. Sebagai orang yang lebih tua, saya hormati dia. Kalau boleh, kita duduk bersama dan bercakap soal ini sebab premis kita (masing-masing) jaraknya hanya 10 langkah.
“Saya tiada apa-apa masalah dengan dia (Ahmad Idham) dan mungkin dia kena provokasi. Namun, apa yang dibuat (teguran Ahmad Idham) mungkin memberi promosi kepada bangunan (premis) saya… Saya ucapkan ribuan terima kasih,” katanya ditemui pada majlis tayangan perdana Brandfilm Raya D’Herbs, iaitu Ya, Abang Saya Sekuriti’, di GSC IOI Mall Damansara di sini, semalam.
Sebelum ini, Ahmad Idham dilapor meluahkan rasa kurang senang dengan sikap segelintir individu yang didakwa meletakkan kenderaan secara ‘double park’ berhampiran premis perniagaannya di Kota Damansara, tidak jauh dari Wisma D’Herbs.
Ahmad Idham dilapor turut menyifatkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit meresahkan apabila sebuah sekolah pendidikan khas di lokasi sama, turut terkesan dengan isu trafik.
Bagaimanapun, Ahmad Idham kemudian membuat permohonan maaf dan menjelaskan hantaran dibuat hanyalah tanda kecewa terhadap sikap segelintir pengguna jalan raya, bukan ditujukan kepada mana-mana individu.
Aliff atau nama sebenar, Aliff Syukri Kamarzaman mengaku tidak pernah menduga premis diusahakan dibanjiri pelanggan hingga timbul masalah trafik.
Bagaimanapun, Aliff berkata, pihaknya sudah mengambil inisiatif dengan mendapatkan khidmat pasukan bantuan untuk menguruskan trafik di kawasan berkenaan.
“Kami ambil inisiatif dengan mendapatkan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menjaga lalu lintas di Wisma D’Herbs. Alhamdulillah, semuanya lancar sekarang,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






