Home Buletin Semasa SARCOMA TEAM BANTU PESAKIT KANSER SARKOMA

SARCOMA TEAM BANTU PESAKIT KANSER SARKOMA

184
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tahap kesedaran bagi penyakit Kanser Sarkoma dalam kalangan masyarakat masih kurang memandangkan gejala penyakit tersebut tidak jelas pada peringkat awal.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata pengesanan awal dapat memberikan prognosis yang lebih baik kepada pesakit kanser.

“Namun begitu cabaran utama dalam perawatan sarkoma adalah kerana gejalanya sering tidak jelas pada peringkat awal.

“Antara gejala yang perlu diperhatikan bagi penyakit sarkoma adalah pembengkakan atau benjolan yang semakin membesar; sakit yang tidak reda walaupun sudah mendapatkan rawatan; kekejangan atau rasa tidak selesa di kawasan terjejas dan tulang patah secara tiba-tiba,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Kesedaran Sarcoma & Pelancaran “Sarcoma Team”, di sini, hari ini.

Menurut Dr Mohd Azman penubuhan “Sarcoma Team” adalah yang pertama di Malaysia.

“Sebelum tertubuhnya pasukan sarkoma ini, perbincangan untuk rawatan pesakit sarkoma adalah melalui perbincangan doktor bagi membincangkan kes perubatan dalam mesyuarat pasukan pelbagai disiplin (juga dikenali sebagai MDT) yang mengambiol masa lebih lama dan kurang sistematik.

“Dengan adanya pasukan ini, pesakit boleh terus dirujuk kepada pasukan sarkoma dan perbincangan awal boleh diteruskan.

“Oleh itu, rawatan yang diberikan kepada pesakit akan menjadi lebih menyeluruh dan komprehensif,”katanya.

Tambahnya pasukan tersebut bukan sahaja membantu dalam diagnosis dan rawatan tetapi juga dalam aspek pemulihan dan sokongan psikososial kepada pesakit serta keluarga mereka.

“Dalam konteks global, pasukan multidisiplin seperti ini telah terbukti meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit sarkoma.

“Oleh itu kita berharap inisiatif ini akan membawa manfaat besar kepada pesakit dan membantu meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di negara kita,”katanya.

Beliau juga berharap orang ramai dapat menjadi duta kesedaran sarkoma.

“Sebarkan maklumat ini kepada keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

“Semakin ramai yang mengetahui tentang sarkoma, semakin besar peluang kita untuk menyelamatkan nyawa dengan pengesanan awal dan rawatan yang tepat,”katanya.

Untuk rekod, menurut Dr Mohd Azman Kanser Sarkoma di negeri ini meningkat sebayak 100 kes pada 2024 jika dibandingkan pada tahun 2023.

“Sepanjang tahun 2024 sahaja, sebanyak 69 kes sarkoma tisu lembut (soft tisu sarcoma) dan 31 kes sarkoma tulang (bone sarcoma) telah berjaya dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

“Bilangan kes ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan tahun 2023. Secara kumulatif, ini menunjukkan kes sarkoma di negeri ini semakin meningkat seiring dengan jangkaan yang diberikan oleh Malaysian National Cancer registry dan badan-badan yang lain,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here