Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Sebuah rumah yang dipercayai baru disewa dilaporkan hangus terbakar dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Wakaf Zain, di sini, semalam.
Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zamizi Mohamed ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6 petang.
“Apabila pasukan operasi tiba di tempat kejadian, kami dapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis sementara berkeluasan 40×40 kaki persegi dengan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Difahamkan, rumah terbabit baru sahaja disewa oleh penyewa baharu dan sekarang dalam proses memasukkan barang-barang di dalam rumah.
“Ketika kejadian, penyewa rumah sedang membaiki paip air buang di luar rumah itu sebelum berlaku kebakaran.
“Bagaimanapun, kebakaran itu tidak membabitkan kemalangan jiwa,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Setakat ini tiada apa-apa perkembangan terbaru. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
IMedikel TV






