KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio popular, Johan percaya setiap ibu bapa mempunyai pendekatan tersendiri dalam membesarkan anak-anak.
Memetik laporan Berita Harian, menjawab kritikan netizen berkaitan gaya keibubapaannya, Johan atau nama sebenar, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 41, mengaku sentiasa terbuka menerima pandangan orang lain.
Namun, Johan tidak menjadikan komen negatif sebagai kayu ukur kejayaan ibu bapa.
“Sebenarnya, kami sudah cukup bersedia untuk berdepan semua ini kerana membesarkan anak-anak adalah tanggungjawab saya dan isteri.
“Tetapi kalau kita terlalu dengar apa orang cakap dan ikut apa yang mereka suruh buat, kita memang tidak akan berjaya,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program realiti TV, Borak SeeNI.
Johan berkata, tanggungjawab mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak tidak seharusnya diserahkan kepada pihak lain, sebaliknya, perlu dipikul sepenuhnya oleh ibu bapa.
“Mengajar dan memberi pendidikan kepada anak adalah tanggungjawab saya dan isteri. Kita percaya setiap perbuatan akan ada balasan. Tetapi, kita tidak boleh mengharapkan balasan itu datang daripada anak-anak.
“Kalau suatu hari nanti mereka menghantar kita ke rumah orang tua, kita kena bersedia seolah-olah kita melangkah ke sana sendiri. Pada penghujungnya nanti, ramai mana pun anak kita, mereka tetap akan keluar menjalani kehidupan sendiri.
“Anak perempuan akan dipinang, anak lelaki pula akan meminang. Jadi, yang tinggal di rumah nanti hanya saya dan isteri,” katanya.
Sehubungan itu, Johan memilih untuk memanfaatkan sepenuhnya masa bersama anak-anak selagi mereka masih di bawah jagaaan dia dan isteri.
“Sebelum kami tinggal berdua, kami gunakan masa ini bersama anak-anak dengan mengaji, memberi pendidikan, pengetahuan umum dan agama. Kita hendak bina momen bersama anak-anak kerana itu yang paling penting,” katanya.
“Sebab kita tahu, apabila suatu hari nanti kita berkumpul semula, yang akan diceritakan adalah momen keluarga yang pernah kita lalui bersama. Itulah yang akan diingati,” katanya.
Mengulas pendekatan disiplin dalam keluarga, Johan berkata dia berpegang kepada prinsip menetapkan peraturan sendiri di rumah walaupun berdepan campur tangan ahli keluarga.
“Kalau ibu bapa atau mertua datang ke rumah, kadang-kadang merekalah yang jadi ‘spoiler’. Tapi bagi saya, ‘my house, my rules’ (rumah saya, peraturan saya).
“Mungkin anak-anak akan rasa tak disayangi, tetapi, suatu hari nanti, mereka akan faham. Kita sayang anak-anak mengikut cara kita, bukan mengikut cara mereka mahu disayangi,” jelasnya.
Johan mendirikan rumah tangga dengan Ozlynn pada 25 Julai 2009. Mereka dikurniakan enam cahaya mata. – BH Online –
IMedikel TV






