Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebuah rumah kekal musnah kira-kira 80 peratus dalam kejadian kebakaran di Jalan Mahmod di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba II, Zuzuki Safei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.57 tengah hari sebelum jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal serta lapan buah motosikal.
“Bomba kemudiannya menjalankan operasi pemadaman dengan bantuan jentera dari BBP Darul Naim yang turut digerakkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.
“Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 1.09 petang sebelum kebakaran dipadam sepenuhnya kira-kira jam 2.16 petang,” katanya.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.
IMedikel TV






