Home Hiburan ROSSA LAYAK DIGELAR DIVA

ROSSA LAYAK DIGELAR DIVA

301
0

KUALA LUMPUR: Keterampilan memukau dengan ‘magis’ suara Datuk Seri Rossa ketika menjayakan konsert solo, Rossa Here I Am di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu, membuktikan mengapa dirinya layak digelar diva.

Memetik laporan Berita Harian, pengalaman hampir tiga dekad menongkah badai dalam dunia seni, membawa sosok wanita kelahiran Sumedang, Jawa Barat, Indonesia ini berada di puncak tertinggi sebagai ikon muzik serantau.

Kemerduan vokal dan keindahan seni persembahan disajikan Rossa membuatkan konsert selama tiga jam itu seolah-olah tidak cukup untuk memberi kepuasan total kepada peminat.

Segala-galanya boleh dikatakan sempurna baik dari sudut nyanyian, pemilihan lagu, susunan muzik, penataan pentas dan penampilan penyanyi undangan.

Setiap elemen menyatu dengan sempurna, menjadikan konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama Sah Entertainment itu sebagai perayaan seni cukup mengagumkan.

Rossa atau nama sebenar, Sri Rossa Roslaina Handiyani, 47, bukan sekadar mempertaruhkan bakat suara dimiliki, sebaliknya membawa peminat merentasi suatu evolusi baharu dalam muzik.

Selain menyajikan halwa telinga buat ribuan peminat, Konsert Rossa Here I Am juga menjadi medium perkongsian isi hati Rossa yang sebelum ini mungkin jarang diluahkan.

Ada pelbagai rasa dan cerita mengiringi setiap segmen persembahan Rossa, lantas menjadikan konsert berkenaan sebagai hadiah bermakna untuk terus dikenang peminat.

Tepat jam 8.30 malam, pentas utama konsert dihidupkan dengan alunan muzik penuh dramatik daripada pasukan orkestra dengan paduan band yang dibawa khas sebelum menyaksikan kemunculan Rossa dalam persalinan rona putih persis sekuntum mawar.

Setiap sudut ruangan konsert berubah riuh sebaik Rossa membuka tirai persembahan dengan lagu Tegar ciptaan Melly Goeslaw yang juga trek pertama dalam album keduanya pada 1999.

Persembahan kemudian diteruskan dengan lagu Malam Pertama, Wanita dan Wanita Yang Kau Pilih sebagai slot dedikasi untuk wanita yang sedang berjuang dalam hidup masing-masing.

Rossa terus menghangatkan konsert dengan kolaborasi mantap bersama finalis Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Marygrace, Kai Deva dan Zazzleen menyampaikan lagu Takkan Berpaling Darimu.

Turut dibawa dalam konsert kali ini adalah alumni program realiti Indonesia, Indonesian Idol iaitu Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla yang disatukan menjadi kumpulan The Ladies.

Bersama empat penyanyi muda berbakat besar itu, Rossa mendendangkan lagu Kepastian, Bila Salah dan Ku Menunggu, sekali gus memberi nafas baharu kepada karya popular itu.

Selain itu, kemunculan Ernie Zakri menyampaikan satu daripada lagu hit Rossa iaitu Hijrah Cinta dengan kelunakan vokal dimilikinya menjadi antara momen berharga sepanjang konsert.

Suasana semakin riuh sebaik Rossa tampil berduet bersama Ernie menyampaikan secara ‘mash-up’ lagu fenomena, Masing Masing dan Aku Bukan Untukmu, lantas menyaksikan penyatuan hebat dua penyanyi berlainan generasi di atas pentas sama.

Ada ketika, Rossa sempat menuturkan bagaimana kerja keras dalam muzik membawa dirinya berada hingga ke tahap ini, selain bersyukur apabila sehingga kini masih diterima peminat di Malaysia.

Sementara itu, antara momen ikonik yang pasti diingati peminat adalah ketika Rossa menghadiahkan segmen istimewa buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Melalui segmen khas kira-kira 10 minit itu, Rossa mendendangkan empat lagu popular Siti melalui caranya sendiri. Rossa membuka segmen penuh bermakna itu dengan lagu Gelora Asmara sebelum diikuti tiga lagu lain, iaitu Percayalah, Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa.

Segmen itu kemudian bertukar gamat dengan sorakan peminat sebaik Siti yang duduk di kerusi penonton, mengambil mikrofon dan menyambung nyanyian Rossa ketika membawakan lagu Percayalah.

Segmen kolaborasi Rossa diteruskan dengan persembahan bersama MK K-Clique yang mempamerkan nyanyian rap cukup memukau sebelum berduet dengan Hael Husaini menerusi lagu Meriah Lain Macam.

Ariel Noah turut mencuri perhatian dengan persembahan duet bersama Rossa menerusi lagu Nada-Nada Cinta sebelum menyampaikan versi baharu lagu Tegar dalam gaya tersendiri.

Rossa turut mempersembahkan rangkaian lagu hit pernah dirakamkan seperti Cinta Dalam Hidupku, Jangan Hilangkan Dia, Atas Nama Cinta, Bulan Dikekang Malam, Ayat Ayat Cinta, Sakura dan Pudar.

Rossa menutup tirai persembahan dengan lagu Hey Ladies dengan gubahan rancak yang menampilkan kembali finalis CSOIAM dan The Ladies, lantas menjadi momen penutup penuh makna buat peminat. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here