LONDON: Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodriguez dijangka melangsungkan perkahwinan yang antara paling besar dan mewah pada 2026 apabila pasangan itu bakal mengikat tali pernikahan hujung minggu ini.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Ronaldo, 41, dan Georgina, 32, mula menjalin hubungan pada 2016 selepas bertemu di kedai Gucci tempat wanita kelahiran Sepanyol itu bekerja sebagai pembantu jualan.
Tahun lalu, Ronaldo melamar Georgina dengan cincin pertunangan bernilai 3 juta pound (RM16.56 juta) yang dipamerkan di Instagram.
Georgina sebelum ini mendedahkan hubungan mereka bermula dengan “cinta pandang pertama”, manakala Ronaldo pernah berkata dia “1,000 peratus pasti” akan mengahwini wanita pilihannya itu.
Pasangan berkenaan yang kini menetap di Arab Saudi selepas Ronaldo menyertai Al Nassr, dilaporkan akan berkahwin di Madeira, Portugal, iaitu tempat kelahiran dan membesar bintang bola sepak berkenaan.
Menurut laporan tempatan, Katedral Funchal di ibu kota Madeira ditempah untuk majlis besar itu, dengan Georgina dijangka berjalan menuju altar di gereja yang mampu memuatkan kira-kira 800 tetamu.
Selepas upacara, pasangan itu hanya perlu menempuh perjalanan sekitar lima minit dengan kereta atau 15 minit berjalan kaki ke lokasi majlis resepsi.
Mengikut gaya hidup mewah Ronaldo, pasangan yang dianggarkan memiliki kekayaan sekitar AS$1.4 bilion (RM5.73 bilion) itu dikatakan menempah hotel lima bintang Savoy Palace sebagai lokasi sambutan perkahwinan.
Hotel berkenaan menawarkan enam kolam renang, perkhidmatan butler 24 jam, spa, pemandangan panoramik serta beberapa restoran bertaraf lima bintang.
Ronaldo dan keluarganya sebelum ini pernah dilihat menginap di Savoy Palace dan dipercayai akan menetap di The Reserve, iaitu konsep hotel eksklusif dalam hotel berkenaan yang terletak di tingkat atas dengan kadar penginapan bermula sekitar 1,100 pound (RM6,100) semalam.
Kemudahan mewah di hotel itu termasuk ruang majlis seperti Grand Ballroom yang mampu memuatkan sehingga 1,000 tetamu, selain kawasan Galaxia di atas bumbung yang menawarkan pemandangan pulau dan lautan.
Tetamu juga bakal disambut dengan pintu masuk besar dihiasi candelier logam setinggi 33 kaki serta hiasan bunga segar.
Savoy Palace yang mempunyai 352 bilik turut menyediakan kemudahan mewah seperti pemandangan laut, almari pakaian khas, bilik mandi pasangan serta menu bantal eksklusif mengikut pilihan tetamu.
Pasangan itu juga boleh menikmati restoran makanan laut Galaxia dan kemudahan spa mewah yang menawarkan pelbagai rawatan termasuk penjagaan wajah, urutan dan rawatan kuku.
Ronaldo sebelum ini berkata dia merancang berkahwin dengan Georgina selepas Piala Dunia tahun ini dan berharap hadir ke majlis itu bersama trofi juara.
“Saya akan mengahwininya kerana saya percaya ini masa yang tepat. Bukan hanya kerana dia ibu kepada anak-anak saya, tetapi kerana dia adalah insan yang paling saya cintai,” katanya kepada Piers Morgan.
Georgina kemudian berkongsi gambar cincin pertunangan itu dengan kapsyen ringkas: “Saya setuju.” – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






