Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang daripada dua remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kampung Batu Lada, Aur Duri, di sini, semalam, ditemukan pagi ini.
Mangsa, Luth Naiman Mohd Noraziron, 14, ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 9.10 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi mereka dipercayai lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pagi ini dengan membabitkan 56 anggota daripada pelbagai agensi serta penduduk setempat.
Menurutnya, operasi pencarian permukaan menggunakan kaedah surface searching dengan bantuan peralatan grappling iron dimulakan pada jam 7.57 pagi.
“Pada jam 8.40 pagi, selaman pertama dilakukan anggota PPDA di lokasi sebelum mangsa pertama ditemukan pada jam 9.10 pagi.
“Mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan disahkan sebagai Luth Naiman Mohd Noraziron, 14,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi berkenaan turut membabitkan anggota BBP Kuala Krai, PPDA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Guchil, PBS Kota Jembal serta penduduk setempat.
Operasi membabitkan sokongan aset termasuk sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua Hilux, sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS), dua bot bomba, sebuah Land Rover dan bot PDRM serta enam bot penduduk setempat.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.39 petang semalam, dua remaja berusia 14 tahun, Luth Naiman Mohd Noraziron dan Mohd Rayan Hakimi, dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai berkenaan.
Operasi pencarian yang dijalankan semalam terpaksa ditangguhkan pada jam 7.06 malam sebelum disambung semula pagi ini.
IMedikel TV






