Home Buletin Semasa REMAJA LELAKI MAUT, SEORANG LAGI CEDERA PARAH NAHAS BABIT TIGA KENDERAAN DI...

REMAJA LELAKI MAUT, SEORANG LAGI CEDERA PARAH NAHAS BABIT TIGA KENDERAAN DI GUA MUSANG

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal di Kilometer 4, Jalan Gua Musang–Lojing, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada DCC Gua Musang pada jam kira-kira 8.40 malam. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 8.20 malam membabitkan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun bersama seorang penumpang, dalam perjalanan dari arah Blau menghala ke Bandar Gua Musang. 

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai telah bertembung dengan dua buah motosikal jenis Honda EX5 yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, seorang penunggang motosikal berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian tangan kanan selain cedera di kaki kanan dan kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan.

“Seorang lagi penunggang motosikal berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian, manakala siasatan lanjut masih dijalankan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here