Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di KM 44.5 Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Kampung Gaal, Pasir Puteh, di sini petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika pemandu kereta berumur 35 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Bandar Pasir Puteh.
“Siasatan awal mendapati mangsa berumur 18 tahun yang menunggang motosikal datang dari arah bertentangan sebelum dipercayai memasuki laluan kereta berkenaan, menyebabkan berlaku perlanggaran.
“Penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ktanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.
“Bagi mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan boleh terus ke balai berdekatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin di talian 013-6706156,”katanya.
IMedikel TV






