Home Buletin Semasa RAKYAT MALAYSIA DI ARAB SAUDI DIMINTA KEKAL TENANG, PEKA PERKEMBANGAN SEMASA

RAKYAT MALAYSIA DI ARAB SAUDI DIMINTA KEKAL TENANG, PEKA PERKEMBANGAN SEMASA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Jeddah: Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) Jeddah menegaskan bahawa situasi keselamatan di seluruh Arab Saudi pada masa ini adalah selamat dan terkawal.

Namun, rakyat Malaysia yang berada di negara tersebut dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan mengekalkan ketenangan.

Dalam notis yang dikeluarkan pada Sabtu, KJM Jeddah menekankan supaya rakyat Malaysia mengelakkan penulisan atau sebarang tindakan yang boleh ditafsir sebagai gangguan terhadap ketenteraman setempat, yang boleh dianggap sebagai kesalahan di sisi undang-undang Arab Saudi.

“Mohon rakyat Malaysia yang menetap di Wilayah Barat Arab Saudi serta mereka yang melaksanakan ibadah umrah dan ziarah, untuk segera memuat turun aplikasi MyWorldAlert.

“Aplikasi ini memudahkan pemantauan situasi semasa dan membolehkan bantuan diberikan sekiranya diperlukan,”menurut kenyataan itu.

Bagi mereka yang akan melakukan perjalanan udara, KJM Jeddah menasihatkan agar menyemak jadual penerbangan terkini dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

KJM Jeddah sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa tempatan mengenai perkembangan semasa dan sebarang maklumat penting yang memerlukan tindakan lanjut akan dimaklumkan dengan kadar segera.

“KJM Jeddah sentiasa memantau dan perkembangan terkini di rantau ini,”jelas kenyataan itu.

Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi KJM Jeddah di +966 126 727 740 atau melalui emel di mwjeddah@kln.gov.my.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here