Home Sukan RABIOT WIRA JUVE ATASI ROMA

RABIOT WIRA JUVE ATASI ROMA

TURIN, Itali: Jaringan tunggal Adrien Rabiot pada babak kedua membantu Juventus menang 1-0 ke atas AS Roma di laman sendiri awal pagi tadi sekali gus melonjakkan mereka dua mata di belakang pendahulu Serie A, Inter Milan.

Juve memecah kebuntuan dua minit selepas rehat apabila pemain tengah Perancis, Rabiot tidak dikawal ketika dia menyambut hantaran Dusan Vlahovic sebelum tenang merembat masuk.

Juve menamatkan tahun ini di tangga kedua dengan 43 mata daripada 18 perlawanan di belakang Inter, yang seri 1-1 di Genoa kelmarin. Roma kendalian Jose Mourinho di tangga ketujuh dengan 28 mata.

“Ia satu perlawanan yang bagus, kerana bermain menentang Roma tidak pernah mudah, terutama apabila Mourinho berada di pihak lawan,” kata pengurus Juve, Massimiliano Allegri kepada DAZN.

“Pada ketika ini, saya fikir kami berada dalam keadaan bagus dari segi fizikal, latihan tiga hari terakhir bagus dan kami mempunyai beberapa gerakan hantaran yang mengagumkan hari ini.”

Roma ketinggalan lima mata di belakang pasukan tangga keempat Fiorentina dan berjuang untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara.

“Kami bercakap mengenai perkara ini sebelum perlawanan dan kami mencipta lebih banyak peluang berbanding apa yang dijangkakan ramai berdepan kubu kebal di Turin,” kata Mourinho kepada DAZN.

“Saya amat gembira dengan cara kami mendepani perlawanan secara strategi, amat gembira dengan karakter pasukan saya tetapi ia mengenai mata dan kami tidak mendapat keputusan yang diinginkan.”

Roma melayan kunjungan Cremonese pada pusingan 16 terakhir Piala Itali pada 3 Januari ini. Juve berdepan Salernitana dalam pertandingan sama hari berikutnya. – REUTERS-BH Online-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here