MUSCAT: Bekas pengendali Real Madrid dan Portugal, Carlos Queiroz diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Oman ketika mereka bersedia menghadapi pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Persekutuan Bolasepak Oman (OFA) mengesahkan pelantikan itu menerusi platform media sosial X, semalam.
“Queiroz memiliki pengalaman luas dalam kejurulatihan, pernah membimbing skuad kebangsaan Portugal, Iran, Colombia, Mesir dan Qatar. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih Manchester United di bawah Sir Alex Ferguson,” kata OFA dalam kenyataan ringkas.
Oman mara ke pusingan keempat selepas menamatkan saingan di tangga keempat Kumpulan B dalam pusingan sebelumnya, dengan keputusan seri 1-1 menentang Palestin menjadi tiket penting ke fasa seterusnya.
Dalam masa sama, OFA turut merakamkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan terdahulu yang diketuai jurulatih tempatan, Rashid Jaber.
“OFA merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada barisan kejurulatihan terdahulu atas komitmen mereka sebelum ini, serta mendoakan kejayaan mereka pada masa akan datang,” kata kenyataan itu lagi.
Oman akan diundi bersama Iraq, Qatar, Arab Saudi, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam majlis undian pusingan keempat yang dijadual berlangsung pada 17 Julai ini. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






