KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama Pacific Senior Living (Pacific) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi mengenal pasti punca dan menilai kerosakan bangunan lama KWSP di Petaling Jaya yang terbakar semalam.
Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam kenyataan berkata, Pacific adalah pemaju yang sedang melaksanakan kerja pengubahsuaian bangunan tidak berpenghuni di Jalan Gasing itu sebagai kemudahan kediaman warga emas.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan selepas memeterai perjanjian pajakan selama 30 tahun dengan KWSP pada 6 April 2022.

Katanya, Pasific memulakan kerja perobohan bahagian dalam bangunan mengikut rancangan pengubahsuaiannya.
Kebakaran membabitkan tingkat empat dan lima, dengan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Ia adalah kali kedua bangunan itu terbakar selepas insiden sama pada Februari 2018.
Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP turut merakamkan penghargaan kepada JBPM atas tindakan pantas mengawal kebakaran.
Semalam, media melaporkan bangunan KWSP di Jalan Gasing, Petaling Jaya, sekali lagi terbakar pada Isnin.
Bangunan sama pernah terbakar pada 2018.
Sumber BH Online
Imedikel TV






