Home Buletin Semasa PROVOKASI TAK HALANG LIMA AGENSI GEMPUR PENCEROBOHAN HUTAN SIMPAN TASEK BERA

PROVOKASI TAK HALANG LIMA AGENSI GEMPUR PENCEROBOHAN HUTAN SIMPAN TASEK BERA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

BERA: Provokasi dan bantahan masyarakat Orang Asli tidak menghalang lima agensi penguatkuasaan meneruskan operasi bersepadu membanteras kegiatan pencerobohan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasek Bera, dekat sini.

Operasi selama sebulan yang bermula semalam itu menyasarkan kawasan hutan simpan yang diceroboh dan diusahakan dengan tanaman kelapa sawit serta getah, termasuk ladang yang kini mengeluarkan hasil.

Operasi berkenaan membabitkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JPNP, Mohd Mustakim Semail, berkata lebih 70 anggota terbabit dalam operasi kali ini yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Menurutnya, operasi dimulakan dengan tinjauan dan penentuan lokasi sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

“Operasi semalam turut menggunakan dron oleh UPNP bagi menentukan lokasi kawasan ceroboh yang terletak di beberapa kawasan Tasek Bera.

“Tinjauan mendapati terdapat kawasan yang sudah lama diusahakan dan ada juga kawasan baharu diteroka menerusi kaedah pembakaran hutan,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu bertujuan memastikan kawasan Hutan Simpan Tasek Bera sentiasa dipelihara, dilindungi dan diurus selaras dengan kepentingan negeri serta peruntukan undang-undang berkaitan.

Mengulas bantahan yang berlaku, Mohd Mustakim berkata pasukan penguatkuasaan berdepan provokasi masyarakat Orang Asli yang tinggal di beberapa kawasan hutan simpan berkenaan.

“Operasi bermula semalam berhadapan dengan bantahan daripada masyarakat Orang Asli yang tinggal dalam beberapa kawasan hutan simpan, mereka mengadakan provokasi bagi menghalang kita daripada memasuki kawasan hutan simpan.

“Kita terpaksa bertindak memotong palang besi yang dibina bagi menghalang pihak luar masuk ke kawasan ceroboh yang diusahakan dengan tanaman getah dan kelapa sawit,” katanya yang turut menyertai operasi terbabit.

Operasi yang dibahagikan kepada tiga kumpulan itu diketuai Pengarah UPNP, Saifullah Muhammad Ali.

Mohd Mustakim berkata, pihaknya tidak akan berundur berikutan sebarang provokasi dan ancaman masyarakat setempat yang tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan.

Katanya, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan tegas termasuk menahan individu yang melakukan provokasi atau cuba menghalang operasi yang akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tempoh sebulan.

Dalam perkembangan berkaitan, JPNP sebelum ini melaksanakan program penghijauan semula kawasan ceroboh Hutan Simpan Tasek Bera dengan menanam 2,000 pokok daripada pelbagai spesies.

Antara spesies ditanam ialah Meranti Tembaga, Meranti Temak, Keruing Kertas, Merbau, Kasai, Keladan, Merawan Siput Jantan, Sepetir, Keruing Neram dan Meranti.

Mohd Mustakim berharap operasi bersepadu itu berjalan lancar bagi memenuhi tanggungjawab yang diberikan kerajaan negeri dalam membendung kegiatan pencerobohan hutan simpan.

“Jabatan akan terus melaksanakan program pemutihan kawasan pencerobohan hutan simpan di negeri ini bagi memastikan tidak berlaku lagi aktiviti pencerobohan hutan simpan yang dijadikan ladang sawit dan kebun getah,” katanya.

Tinjauan di kawasan operasi mendapati penduduk Orang Asli berkumpul di setiap pintu masuk ke kawasan hutan simpan yang diceroboh, termasuk kawasan tanaman kelapa sawit dan getah.

Mereka dilaporkan membuat halangan serta mengeluarkan kata-kata kesat sebagai tanda bantahan terhadap tindakan penguatkuasaan.

Kehadiran anggota polis dan PGA bagaimanapun membantu mengawal keadaan, susulan notis pengosongan kawasan hutan simpan yang sebelum ini dikeluarkan pihak berkuasa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here