TAWAU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan untuk menyelesaikan isu-isu asas yang membelenggu rakyat Sabah sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.
Memetik laporan Berita Harian, beliau mendakwa, sokongan padu rakyat yang hadir dalam Program Jelajah Rakyat 2025 malam tadi membuktikan mereka semakin hilang keyakinan terhadap kerajaan sedia ada dan mengharapkan PN tampil sebagai alternatif yang berwibawa.
“Sokongan rakyat yang hadir pada malam ini sangat jelas. Dengan suara lantang, mereka mahu PN membentuk kerajaan di peringkat pusat dan juga negeri Sabah,” katanya ditemui media selepas program berkenaan.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, isu-isu asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan jalan raya yang berlarutan selama berdekad-dekad perlu diberi perhatian segera, bukan lagi sekadar janji politik.
Jelasnya, perkara itu bukanlah isu baharu memandangkan rakyat Sabah telah sekian lama membangkitkannya, namun masih belum menemui penyelesaian.
“Sekiranya diberi ruang dan mandat, PN yakin mampu merangka pelan tindakan menyeluruh bagi menangani permasalahan tersebut secara tuntas dan berperingkat.
“Kalau tidak dalam tempoh setahun, kita akan cuba secepat mungkin cari dana dan beri keutamaan kepada kawasan terpinggir,” katanya sambil memberi jaminan bahawa tadbir urus PN menolak rasuah dan akan memastikan pelaksanaan yang telus dan berkesan.
Dalam pada itu, mengulas kemungkinan kerjasama dengan parti lain termasuk Warisan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka diadakan dalam masa terdekat, Muhyiddin berkata rundingan masih berjalan namun belum dimuktamadkan.
“Belum ada keputusan, tapi kita sedang atur strategi dan adakan perbincangan dengan banyak pihak. Tapi tak perlu umum semua sekarang… itu strategi, rahsia,” katanya.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri ke-8 itu juga tidak menolak keperluan untuk membentuk satu gabungan mantap bagi memudahkan usaha PN menawan semula Sabah.
Muhyiddin turut mengesahkan logo PN akan digunakan dalam PRN Sabah kerana ia telah diterima baik rakyat di seluruh negara. – BH Online –
IMedikel TV






