LONDON: Pengurus Tottenham yang kini berada di bawah tekanan, Ange Postecoglou, mendapat suntikan semangat dengan kembalinya pemain-pemain utama yang cedera menjelang perlawanan penting menentang Manchester United awal pagi Isnin ini.
Postecoglou terpaksa bermain tanpa 11 pemain ketika tewas pada pusingan keempat Piala FA minggu lalu di Aston Villa, diikuti dengan kekalahan dalam separuh akhir Piala Liga menentang Liverpool.
Namun, pengurus Australia itu kini dapat kembali bekerja dengan Guglielmo Vicario, Destiny Udogie, James Maddison, Wilson Odobert, dan Brennan Johnson dalam sesi latihan minggu ini.
Penjaga gol Itali, Vicario, tidak bermain sejak patah pergelangan kaki ketika menentang Manchester City November lalu, memaksa Postecoglou menggunakan tiga pengganti, termasuk pemain yang baharu diikat pada Januari, Antonin Kinsky.
Postecoglou lega melihat beberapa pemain yang cedera akhirnya kembali untuk membantu Tottenham mengurangkan tekanan yang semakin memuncak berkata, minggu rehat sejak perlawanan terakhir mereka adalah satu dorongan besar.
“Ia menjadi minggu yang baik, boleh dikatakan dari segi kesihatan dan kelegaan kepada kumpulan pemain muda yang saya uruskan.
“Pemain yang bermain mendapat manfaat daripada rehat beberapa hari.
“Di segi kecederaan, bagus dapat kembali mempunyai pemain penting untuk tujuan latihan sebagai permulaan kerana ia meningkatkan kualiti dan tahap latihan kami, tetapi dari segi membantu kami, Vicario, ya, dia berlatih dengan sangat baik dan sedia untuk beraksi.
“Madders (Maddison) sedia untuk beraksi. Kemudian, kami ada Destiny, Wilson, dan Brennan yang berlatih dengan kumpulan dan mereka juga berada dalam keadaan yang baik, jadi ia menjadi minggu latihan yang baik,” kata Postecoglou kepada wartawan pada hari Jumaat.
Walaupun begitu, bilik rawatan Tottenham masih sibuk kerana pertahanan tengah Micky van de Ven, Radu Dragusin, dan Cristian Romero masih lagi tidak dapat beraksi.
Postecoglou, yang pasukannya berada di tempat ke-14 Liga Perdana, juga terpaksa bermain tanpa penyerang Richarlison, Timo Werner, dan Dominic Solanke untuk kunjungan United ke utara London. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






