Home Buletin Semasa POLIS SIASAT PENYEBARAN MAKLUMAT PALSU KES BUNUH PELAJAR MAUT DENGAN 61 KESAN...

POLIS SIASAT PENYEBARAN MAKLUMAT PALSU KES BUNUH PELAJAR MAUT DENGAN 61 KESAN TIKAMAN

95
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan membuka siasatan berhubung penyebaran fakta dan maklumat tidak sahih berkaitan kes pembunuhan seorang penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Nurfisya Zulkifly, 19, yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya memandang serius penularan hantaran di media sosial yang mengaitkan latar belakang suspek serta penggunaan gambar rasmi beliau bagi menarik perhatian awam.

“Selain itu, terdapat paparan tajuk sensasi dan tidak tepat yang boleh mengelirukan, selain tindakan mengeksploitasi kenyataan rasmi pihak polis dengan cara dimanipulasi atau ditokok tambah.

“Turut dikesan penggunaan logo rasmi PDRM tanpa kebenaran sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah kandungan tersebut merupakan kenyataan rasmi pihak polis,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelasnya, penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan bukan sahaja boleh menimbulkan kegusaran awam, malah berupaya mengganggu serta menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.

“Sehubungan itu, orang ramai diseru agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dengan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara dan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar serta berkesan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here