Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 menahan seorang lelaki dan merampas 10.4 kilogram bunga ganja dalam satu operasi di tepi jalan Lubok Setol, di sini, pada Isnin lalu.
Dalam kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan penahanan tersebut dilakukan menerusi Op Taring Wawasan kira-kira jam 11.00 malam selepas anggota PGA mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Suspek kelihatan membawa sebuah beg dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg yang dibawa suspek menemui satu beg plastik mengandungi bunga ganja seberat 10.4 kilogram dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM374,000,”menurut kenyataan itu semalam.
Suspek kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan awal turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952.
IMedikel TV






