Home Sukan PETUA SENIOR BANTU KHAI XING-AARON CIPTA KEJUTAN

PETUA SENIOR BANTU KHAI XING-AARON CIPTA KEJUTAN

368
0

KUALA LUMPUR: Petua taktikal dikongsi beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi senjata rahsia buat gandingan muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai apabila mereka bangkit menumbangkan pasangan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer pada aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025, hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, menduduki ranking ke-58 dunia, juara remaja dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengejutkan lawan mereka yang juga finalis Terbuka Thailand minggu lalu dengan kemenangan 12-21, 21-11, 21-17 dalam tempoh 48 minit.

Menurut Khai Xing, peluang bertemu Aaron-Wooi Yik sebelum perlawanan dimanfaatkan sepenuhnya apabila pasangan senior negara itu berkongsi petua berharga mengenai gaya permainan lawan dari Denmark itu yang mereka tewaskan di final Terbuka Thailand.

“Aaron-Wooi Yik sempat berkongsi beberapa petua, termasuk cara membaca arah bulu tangkis lawan dan bagaimana untuk mengawal permainan. Ia sangat membantu kami hari ini,” katanya selepas tamat perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Mengulas lanjut aksi di gelanggang, Khai Xing mengakui dia dan Aaron bermula agak perlahan, sekali gus menyebabkan mereka terlepas set pertama kepada pasangan Eropah itu.

“Kami bermula perlahan di set pertama dan banyak bulu tangkis tidak dapat dikembalikan dengan baik. Namun, selepas menerima arahan jurulatih, kami ubah corak permainan dan mula mendominasi perlawanan pada set kedua dan ketiga,” katanya.

Kemenangan itu bukan sahaja memberi tonik terbaik kepada gandingan muda negara, malah memberi keyakinan tambahan menjelang aksi lebih mencabar di pusingan kedua esok menentang pilihan ketujuh kejohanan, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark.

“Kami mahu kekalkan momentum ini dan berikan aksi terbaik, terutama di depan penyokong sendiri yang datang memberi sokongan,” kata Khai Xing. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here