Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Ikan haruan sememangnya terbukti kaya dengan nutrien penting untuk penyembuhan luka, namun pengambilannya selepas pembedahan perlu dilakukan dengan berhati-hati dan tidak tergesa-gesa.
Public Health Malaysia dalam perkongsian di laman sosial Facebook berkenaan kenyataan bahawa ikan haruan mengandungi protein dan asid amino seperti arginin dan glisin yang berperanan penting dalam pembentukan kolagen serta pertumbuhan semula tisu.
Ramai percaya ikan haruan dapat membantu menyembuhkan luka dan ternyata memang benar secara saintifik. Tetapi, pengambilan terlalu awal boleh memudaratkan.

Secara amnya, pada peringkat awal selepas pembedahan, luka masih berada dalam fasa radang dan pemulihan asas. Jika ikan haruan diambil terlalu cepat, ia boleh merangsang pembentukan tisu secara berlebihan yang secara teori boleh menyebabkan parut dalaman (fibrosis) atau luka melekat, terutamanya selepas pembedahan di bahagian abdomen.
Walaupun tiada kajian klinikal secara langsung membuktikan kesan sampingan itu, ia dijelaskan berdasarkan pemahaman biologi terhadap tindak balas tisu kepada protein tinggi dan faktor pertumbuhan yang terkandung dalam ikan haruan.
Sehubungan itu, orang ramai disaran menunggu sekurang-kurangnya 7 hingga 10 hari selepas pembedahan, memastikan luka kering, tiada jangkitan, dan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil suplemen berasaskan ikan haruan.
Penyembuhan memerlukan kesabaran. Jangan terburu-buru. Utamakan keseimbangan.
IMedikel TV






