Home Buletin Semasa PESTA FLORA KELANTAN 2025 BAWA LIMPAHAN REZEKI, HAMPIR 1,000 TANAMAN TERJUAL

PESTA FLORA KELANTAN 2025 BAWA LIMPAHAN REZEKI, HAMPIR 1,000 TANAMAN TERJUAL

249
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Penganjuran pesta Flora Negeri Kelantan 2025 bukan sahaja menyerikan suasana Taman Perbandaran Tengku Anis, malah turut membuka peluang rezeki kepada peniaga apabila hampir 1,000 tanaman bunga dan buah-buahan berjaya dijual sepanjang empat hari penganjurannya.

Peniaga tanaman, Iskandar Zulkanaim Arif, 27, berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan peningkatan jualan setiap hari sejak pesta itu bermula.

“Kita lihat graf jualan sentiasa menaik dari hari pertama hingga ke hari terakhir, iaitu hari ini.

“Alhamdulillah, setakat ini kedai kami, Limau Purut Jaya Trading, telah menjual lebih kurang 1,000 pokok bunga dan buah sepanjang empat hari di sini,” katanya.

Iskandar berkata demikian ketika ditemui di Pesta Flora Negeri Kelantan 2025, di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjong Chat, di sini, hari ini.

Menurut Iskandar, tanaman itu dijual pada harga antara RM7 hingga RM150 dengan pokok bonsai, melur dan kesidang merah antara yang paling mendapat sambutan.

Sementara itu, pengunjung dari Kok Lanas, Suriaiyani Md Saad, 50, melahirkan rasa kagum terhadap kreativiti pihak penganjur, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), dalam menampilkan dekorasi landskap yang menarik.

“Pada pandangan saya, mereka sangat kreatif, cuma kalau ditambah elemen seperti air terjun, mungkin ia lebih menarik.

“Namun, pesta seperti ini sangat membantu memberi ilham kepada pencinta dan penggubah bunga seperti saya.

“Dalam masa sama, ia juga membebaskan minda anak-anak daripada gajet dan menggalakkan mereka berkarya,” katanya.

Bagi pengunjung lain, Eyda Sara Abdul Manaf, 45, dari Kampung Limbat, Peringat, berkata pesta tersebut menjadi aktiviti tahunan yang dinantikan keluarganya kerana menawarkan pelbagai daya tarikan.

“Setiap kali ada pesta floral, saya dan keluarga pasti akan datang. Saya suka melihat keindahan bunga yang dipamerkan.

“Selain itu, kawasan ini juga dilengkapi aktiviti hiburan untuk kanak-kanak seperti pameran binatang,” katanya.

Pesta Floral Negeri Kelantan 2025 berlangsung selama empat hari bermula 2 hingga 5 Oktober di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjong Chat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here