Home Luar Negara PESAWAT TERHEMPAS, SEMUA 20 PENUMPANG DAN KRU SELAMAT

PESAWAT TERHEMPAS, SEMUA 20 PENUMPANG DAN KRU SELAMAT

287
0

WASHINGTON: Sebuah pesawat terhempas di negeri Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad ketika membawa 20 penumpang dan kru, namun nahas itu tidak membabitkan kematian, lapor pihak berkuasa.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pesawat enjin berkembar yang digunakan untuk aktiviti terjun udara itu terhempas sejurus selepas tengah hari di Tullahoma, selatan Nashville, kata pegawai tempatan dan persekutuan.

“Tiada korban jiwa,” kata jurucakap bandar, Lyle Russell dalam kenyataan yang dihantar kepada AFP.

Menurutnya, seramai 20 orang menaiki pesawat jenis DeHaviland DH-6 Twin Otter ketika ia terhempas di Lapangan Terbang Wilayah Tullahoma sekitar jam 12.30 tengah hari (5.30 petang GMT).

“Tiga mangsa dibawa ke hospital menggunakan helikopter manakala seorang lagi dihantar melalui jalan darat akibat kecederaan lebih serius,” katanya sambil menambah beberapa mangsa yang mengalami kecederaan ringan turut dirawat dengan segera oleh pasukan kecemasan di lokasi kejadian.

Russell turut memaklumkan tiada kemudahan awam atau kerosakan yang membabitkan lapangan terbang dan tiada kecederaan dilaporkan di kawasan darat lokasi pesawat itu terhempas.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sedang menyiasat nahas berkenaan, manakala Peronda Lebuhraya Tennessee memaklumkan di platform X bahawa anggotanya membantu polis di lokasi.

Beberapa gambar yang dimuat naik menunjukkan pesawat kecil berwarna putih dengan jalur biru terbenam di kawasan berumput, dengan bahagian ekor dan satu sayap tercabut, manakala beberapa kenderaan polis dengan lampu kecemasan turut kelihatan berhampiran lokasi nahas. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here