KUALA LUMPUR: Jika dikurniakan bakat besar, saiz pentas dan bilangan penonton bukan lagi ukuran untuk menentukan kejayaan sesebuah persembahan.
Kenyataan itu dibuktikan penyanyi, Nadeera Zaini melalui showcase perdana, ‘An Evening With Nadeera’ di Nero Event Space, PJPAC, Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Memetik laporan Berita Harian, biarpun lokasi acara tidak sebesar stadium dan hanya dihadiri 350 penonton, persembahan berdurasi 60 minit itu tetap ada keistimewaan tersendiri.
Malam itu pentas sederhana besar menjadi saksi pemilik nama lengkap Farah Nadeera Zaini menggunakan peluang selama sejam untuk membuktikan kehadirannya dalam industri bukan main-main. Hari ini, Nadeera mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama penyanyi terkenal lain.
Bagai mempunyai kuasa sakti, Nadeera tidak mengambil masa lama untuk ‘merasuk’ penonton dengan keampuhan vokal yang mampu menyampaikan lagu bernada tinggi dengan baik.
Malah, tidak keterlaluan andai dikatakan koleksi lagu didendangkan Nadeera boleh membuatkan seseorang penyanyi ‘putus nyawa’.
“Hampir sebulan saya lakukan persiapan untuk showcase ini kebanyakan lagu dinyanyikan bernada tinggi. Agak ‘struggle’, namun Alhamdulillah, saya lega dan puas hati kerana apa yang diimpikan menjadi kenyataan.
“Saya berangan nak buat showcase sejak menyanyi di lounge hotel. Dahulu saya rasa nyanyi untuk kerusi, meja sahaja, tapi malam ini, penonton saya adalah manusia dan bukan lagi kerusi dan meja,” katanya selepas menjayakan showcase anjuran Usanita Entertainment dan Mask Team itu.
Membuka tirai persembahan dengan lagu Emas, single yang menjadi simbolik yang cukup berharga buatnya. Nadeera kemudian meneruskan persembahan menerusi untaian indah Tanpa Dendam Di Hati yang dipopularkan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fatwa Pujangga, Jampi dan Illusion sebelum berehat seketika.
Tampil anggun menggayakan dua persalinan hasil sentuhan dinamik duo, Rizman Ruzaini, Nadeera menyambung segmen kedua dengan lagu Boneka Tanpa Hati, Try, Kau Dihatiku dan Hakikat Cinta yang disampaikan secara paduan suara bersama penyanyi asal, Dayang Nurfaizah.
“Pihak pengurusan ada tanya siapakah penyanyi yang saya teringin berduet. Saya beritahu saya sukakan Dayang.
“Saya pilih Dayang sebab sukakan keunikan suara dan imejnya. Saya jadikan Dayang antara idola. Saya terharu bila Dayang juga tak menolak lamaran saya,” kongsi juara program realiti, Big Stage musim kelima itu.
Acara malam itu tambah bermakna buat Nadeera apabila turut dihadiri penghibur tersohor, Datuk Zainal Abidin yang pernah membimbingnya ketika menyertai program realiti terbitan TV3, Mentor Legend pada 2014.
Nadeera sempat mengimbau pengalaman menjadi protege kepada penyanyi yang cukup sinonim dengan lagi Hijau itu.
“Beliau adalah orang pertama mengesan bakat saya ketika menyertai program realiti, Mentor Legend. Beliau betul-betul ‘fight’ untuk saya menjadi protegenya.
“Hingga hari ini, beliau masih lagi sokong saya,” katanya.
Selain Zainal, turut hadir memberi sokongan adalah penyanyi Anuar Zain, manakala bakat baharu, Anwar Hamzah membuka tirai persembahan menerusi lagu Imaginasi.
Showcase berkenaan disempurnakan dengan lagu Bukan lagi Kita yang berjaya meledakkan nama Nadeera hingga membawanya melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39, sekali gus diangkat naib juara. – BH Online –
IMedikel TV






