Sebuah pesawat Southwest Airlines yang menuju ke Fort Lauderdale dari Havana terpaksa berpatah semula ke Lapangan Terbang Jose Marti Cuba pada Ahad selepas sebuah enjin dilaporkan terbakar akibat merempuh kawanan burung di udara.
NBC 6 News di Florida, melaporkan jurucakap Southwest Airlines mengesahkan kejadian itu.
“Penerbangan barat daya #3923 yang berlepas dari Havana, Cuba ke Fort Lauderdale, Florida pada pagi ini dilaporkan melanggar kawanan burung di bahagian enjin sejurus selepas pesawat berlepas,” kata jurucakap itu kepada saluran berita televisyen.
Sementara itu, rakaman telefon bimbit menunjukkan asap memenuhi kabin pesawat dengan penumpang yang panik kelihatan cuba menenangkan anak masing-masing dengan memakaikan topeng oksigen.
Pencahayaan kecemasan di dalam pesawat itu turut dinyalakan dan rakaman video menunjukkan penumpang dikeluarkan melalui gelongsor kecemasan di landasan di lapangan terbang terbesar Cuba sambil diperhatikan oleh anggota bomba dan trak penyelamat.
Laporan berita itu berkata, tiada kecederaan serius berlaku dan semua penumpang selamat.
Sumber: BH Online & Reuters
– Imedikel TV






