Home Buletin Semasa PERMOHONAN KEMASUKAN KE TABIKA PERPADUAN BAGI SESI 2027 KINI DIBUKA HINGGA 31...

PERMOHONAN KEMASUKAN KE TABIKA PERPADUAN BAGI SESI 2027 KINI DIBUKA HINGGA 31 OGOS

55
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengumumkan bahawa permohonan kemasukan ke Tabika Perpaduan bagi sesi 2027 kini dibuka.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, permohonan itu boleh dibuat secara atas talian bermula 15 Mac sehingga 31 Ogos tahun ini.

Beliau berkata syarat kemasukan ke Tabika Perpaduan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang mempunyai Sijil Kelahiran dan MyKad, serta berumur empat hingga enam tahun.

“Keutamaan juga diberikan kepada pemohon yang tempat kediaman atau tempat kerja ibu bapa berada dalam lingkungan 10kilometer dari lokasi Tabika Perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bermula tahun ini, Tabika Perpaduan akan mengaplikasikan Kurikulum Prasekolah 2026 yang menekankan pembangunan menyeluruh kanak-kanak dari segi kognitif, emosi, sahsiah serta nilai perpaduan dan kenegaraan.

Katanya, Tabika Perpaduan juga menawarkan pendidikan prasekolah yang berkualiti dengan kurikulum berstruktur bagi menyediakan kanak-kanak menghadapi alam persekolahan di Darjah Satu.

Tambah beliau, KPN juga mengalu-alukan ibu bapa dan penjaga yang berminat mendaftarkan anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan bagi mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti dalam persekitaran yang menekankan nilai perpaduan, hormat-menghormati dan keharmonian masyarakat majmuk.

“Tabika Perpaduan diperkukuhkan melalui Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021–2030, iaitu inisiatif strategik KPN bagi memberi suntikan dan nafas baharu kepada program pendidikan awal kanak-kanak di bawah kementerian.

“Pelan ini bertujuan memperkukuh peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi yang bukan sahaja membangunkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh, malah membentuk generasi yang mempunyai semangat cintakan negara serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

“Pelan ini merangkumi pemantapan secara menyeluruh meliputi aspek kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, pembangunan profesionalisme guru, tadbir urus, jalinan kerjasama dengan komuniti serta sistem pemantauan yang lebih berkesan.

“Enam teras yang digariskan adalah pemantapan elemen kenegaraan, perpaduan dan nilai murni dalam kurikulum, memperkukuh profesionalisme guru Tabika Perpaduan, pengukuhan jalinan kerjasama bersama komuniti, pertingkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran, pemantapan tadbir urus pengurusan serta perkasakan mekanisme pemantauan dan penilaian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara melibatkan 34,817 orang murid.

“Ia menjadikan institusi ini antara platform penting dalam membina asas pendidikan awal serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here