Home Buletin Semasa PERMINTAAN RAWATAN LASER REFRAKTIF DI HPUSM MENINGKAT, 300 PESAKIT DIRAWAT

PERMINTAAN RAWATAN LASER REFRAKTIF DI HPUSM MENINGKAT, 300 PESAKIT DIRAWAT

177
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUBANG KERIAN: Permintaan terhadap rawatan laser refraktif di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menunjukkan peningkatan ketara sejak perkhidmatan itu diperkenalkan pada pertengahan tahun 2022.

Timbalan Pengarah Korporat dan Kelestarian Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dr Shatriah Ismail berkata, sehingga Disember tahun lalu seramai 300 pesakit sudah menjalani rawatan laser refraktif di hospital berkenaan, sekali gus mencerminkan tahap keyakinan orang ramai terhadap rawatan pembetulan penglihatan berteknologi tinggi itu.

Menurut beliau, rawatan laser refraktif ditawarkan kepada pesakit yang memenuhi kriteria tertentu bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan prosedur.

“Antara kriteria utama kelayakan ialah pesakit berusia 20 hingga 21 tahun ke atas, mempunyai kuasa penglihatan yang stabil serta tidak mengalami masalah kornea seperti keratoconus atau kornea yang terlalu nipis.

“Pesakit juga perlu bebas daripada masalah mata kering yang teruk atau penyakit mata aktif lain serta menjalani pemeriksaan mata secara menyeluruh sebelum dibenarkan menjalani rawatan,”katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV baru-baru ini.

Beliau berkata setakat ini, masalah penglihatan yang paling kerap dirawat melalui prosedur laser refraktif di HPUSM ialah rabun jauh (myopia) dan silau (astigmatisme).

“Dari segi tempoh pemulihan, kebanyakan pesakit dilaporkan pulih dalam tempoh empat hingga lima hari selepas rawatan, bergantung kepada keadaan mata masing-masing.

“Bagaimanapun, pesakit turut dinasihatkan memahami risiko dan kesan sampingan sebelum menjalani prosedur berkenaan.

“Antara komplikasi awal yang boleh berlaku termasuk mata kering, jangkitan kuman pada kornea serta pembentukan corneal haze,”katanya.

Katanya komplikasi jangka panjang pula boleh membabitkan masalah pembetulan penglihatan yang berlebihan atau tidak mencukupi (over atau under correction), mata kering berpanjangan, regression, gangguan penglihatan (abberation) serta ectasia kornea.

Dalam pada itu, Dr. Shatriah menjelaskan tidak semua individu sesuai menjalani rawatan laser refraktif.

“Pesakit di bawah umur 20 tahun, mereka yang mempunyai kornea tidak normal atau rabun yang berubah dengan cepat, serta pesakit dengan penyakit mata atau penyakit kronik yang tidak terkawal seperti diabetes dan glaukoma, biasanya tidak digalakkan menjalani prosedur ini.

“Ibu mengandung atau menyusukan anak juga dinasihatkan menangguhkan rawatan sehingga keadaan hormon dan kesihatan mata kembali stabil,”katanya.

Menurut beliau sebelum rawatan dijalankan, setiap pesakit perlu melalui proses saringan komprehensif termasuk pemeriksaan refraksi lengkap, topografi dan ketebalan kornea, ujian saiz pupil, analisis air mata serta penilaian sejarah perubatan.

“Pesakit juga akan diberikan arahan khusus seperti tidak memakai kanta lekap sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pemeriksaan bagi memastikan keputusan saringan yang lebih tepat dan selamat,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here