Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Penyeludupan lembu dan kambing di sempadan Malaysia-Thailand bukan sahaja menjejaskan penternak tempatan malah dipercayai menjadi salah satu cara baharu sindiket dadah di negara ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata terdapat tiga isu besar dalam penyeludupan haiwan berkenaan yang memberi kesan buruk kepada penternak khususnya di Kelantan.

“Kesan pertama bagi penyeludupan ternakan itu adalah dari segi tahap kesihatan atau penyakit haiwan terbabit. Penyakit tidak diperiksa dan tidak melalui tapisan. Isu penyakit akan mengancam industri penternakan di Malaysia
“Kesan kedua adalah harga jualan lembu dan kambing jauh lebih murah berbanding harga yang ditetapkan di pasaran.
“Dan yang ketiga adalah isu penyeludupan. Kita melihat isu ini yang tertinggi di negeri Kelantan berbanding di negeri-negeri lain.Semua itu kita kena kawal dan rakyat perlu dijaga,”katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Kandang Ternakan Lembu Wagyu Kelfarm di Seribong, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, dalam ucapan perasmian beliau berkata lebih 70,000 ekor lembu diseludup masuk ke negara ini pada tahun lalu.
Sementara itu, menurut Mohamad berdasarkan data ternakan lembu baka hibrid yang diperolehi dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, ternakan lembu wagyu sehingga Jun 2025 adalah sebanyak 481 ekor berbanding 393 ekor pada 2024.
IMedikel TV






