Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
NILAI: Sebuah pusat hiburan yang diuruskan warganegara Myanmar diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas intipan selama dua minggu di Nilai, di sini, pada Sabtu.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pada 12 tengah malam itu membawa penahanan seramai 21 warga perempuan Myanmar berumur antara 25 hingga 40 tahun.
“Seorang daripada mereka dipercayai penjaga premis, manakala selebihnya adalah pelayan wanita.
“Premis berkenaan dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan, dan mensasarkan pelanggan dalam kalangan warga Myanmar sahaja.
“Ia beroperasi pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, serta mewajibkan pelanggan membeli minuman keras sebelum dibenarkan masuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, gadis pelayan turut ditawarkan kepada pelanggan dengan bayaran sekitar RM150 hingga RM200 seorang.
Dalam serbuan itu, JIM turut menyita buku catatan urusniaga serta tujuh telefon bimbit.
Katanya hasil siasatan mendapati lapan daripada mereka melakukan kesalahan iaitu tinggal lebih masa di negara ini manakala selebihnya lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Kesemua mereka ditahan dan di bawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah Sek.56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63, Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Sek.15(4) Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam serbuan sama, lima lelaki dan seorang perempuan Myanmar diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
IMedikel TV






