Home Buletin Semasa 500 PENJAWAT AWAM MERIAHKAN SAMBUTAN KIBAR JALUR GEMILANG SEMPENA HKHM 2025

500 PENJAWAT AWAM MERIAHKAN SAMBUTAN KIBAR JALUR GEMILANG SEMPENA HKHM 2025

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 500 penjawat awam menyertai sambutan Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang berlangsung meriah di perkarangan Wisma Persekutuan, di sini, hari ini.

Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Wisma Persekutuan (KESUMA) Kota Bharu itu bertujuan menyemai semangat patriotik dalam kalangan penjawat awam.

Timbalan Pengerusi KESUMA, Sulkifli Silang berkata, penjawat awam berperanan penting sebagai tulang belakang kepada kerajaan dan wajar menunjukkan contoh semangat cintakan negara.

“Sebagai jentera kerajaan, kita perlu menyokong dasar dan program yang dilaksanakan.

“Untuk generasi muda pula, pelbagai inisiatif dan program sedang giat dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Kementerian Belia dan Sukan bagi membina semangat kenegaraan, khususnya kepada anak muda di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mini Karnival Kibar Jalur Gemilang & Hari Malaysia 2025 anjuran KESUMA di Wisma Persekutuan Kota Bharu, di sini, hari ini.

Sebagai simbolik sambutan, Jalur Gemilang turut dipasang pada 20 kenderaan termasuk kereta dan motosikal, selain dihiasi pada sudut bangunan serta pejabat di Wisma Persekutuan bagi membangkitkan rasa cinta kepada negara.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md. Nor.

Sementara itu, Muhd Nor Aswadi menyangkal dakwaan bahawa anak muda Kelantan kurang semangat patriotik.

“Ini menunjukkan satu sikap yang baik dari kalangan anak muda kerana kebanyakkan kempen kibar Jalur Gemilang kita mendapat sambutan daripada mereka.

“Kita akan terus mengadakan kempen sebegitu supaya hasrat Satu Rumah Satu Jalur Gemilang dapat direalisasikan dalam negara ini,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here