Home Segmen Kesihatan PENYEDIAAN MAKANAN SELAMAT, ELAK KERACUNAN

PENYEDIAAN MAKANAN SELAMAT, ELAK KERACUNAN

430
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUBANG KERIAN: Penyediaan makanan yang baik dan selamat adalah sangat diperlukan untuk mengelakkan daripada berlakunya pencemaran.

Penyediaan makanan merangkumi pelbagai peringkat termasuk pemilihan bahan mentah, penyimpanan, penyediaan dan penghidangan.

Menurut Pensyarah Program Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zafirah Mohd Nor, penggunaan bekas kedap udara dan pelabelan tarikh penyimpanan membantu dalam menguruskan tempoh kesegaran makanan.

“Bukan itu sahaja amalan menyusun makanan mengikut prinsip ‘First In, First Out’ (FIFO) boleh diamalkan bagi memastikan makanan yang lebih lama disimpan digunakan terlebih dahulu untuk mengelakkan pembaziran dan berlaku kerosakan.

“Keracunan makanan adalah satu wabak penyakit bawaan makanan di mana dua atau lebih individu mengalami penyakit yang sama selepas makan makanan yang sama dan disahkan dengan analisis ujian makmal bahawa makanan tersebut menjadi punca kepada gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam,”katanya.

Dr. Zafirah berkata terdapat tiga faktor yang menyebabkan makanan tidak selamat atau tercemar.

“Tiga faktor itu termasuk pencemaran kimia yang terjadi ketika fasa pengeluaran dan pemprosesan makanan, pencemaran fizikal di mana makanan boleh tercemar oleh benda asing seperti serpihan kaca, logam atau plastik ketika pemprosesan dan pencemaran biologi.

“Makanan boleh tercemar oleh bakteria atau virus, contohnya ‘Salmonella’, ‘E. Coli’ dan ‘Listeria’ yang boleh dijumpai dalam makanan mentah seperti daging, telur dan sayur-sayuran yang tidak dicuci dengan bersih.

“’Salmonella’, ‘E. Coli’, dan ‘Campylobacter’ dapat berkembang biak di dalam makanan jika tidak disimpan atau dimasak dengan betul dan apabila makanan yang dicemari bakteria ini dimakan, bakteria tersebut menghasilkan toksin atau menyebabkan infeksi dalam tubuh manusia yang mengarah kepada gejala seperti mual, muntah dan demam,”katanya.

Katanya selain itu, ada juga mikroorganisma yang menghasilkan toksin dapat bertahan dalam makanan meskipun sudah dimasak.

“Bakteria ‘Staphylococcus Aureus’ tetap menghasilkan toksin walaupun makanan sudah dimasak malah kesannya boleh menyebabkan gejala keracunan makanan dalam waktu yang singkat apabila dimakan,”katanya.

“Untuk penyimpanan, makanan yang telah dimasak perlu disimpan dalam peti sejuk dalam tempoh tidak melebihi dua jam selepas dimasak serta pastikan suhu peti sejuk adalah di antara 0°C hingga 4°C dan jangan simpan makanan yang telah dimasak lebih daripada tiga hingga empat hari di dalam peti sejuk.

“Sekiranya makanan itu dibungkus untuk dibawa pulang, ia perlu dimakan segera dalam tempoh kurang empat jam selepas dibungkus dan sekiranya makanan tersebut rosak, mempunyai bau yang kuat serta berubah warna atau kelihatan berlendir, sila elak daripada memakan makanan tersebut.

“Untuk mengelakkan pencemaran, makanan yang dibungkus sebaiknya dipanaskan sebelum dihidangkan,” jelasnya.

Tambahnya, bagi mengelakkan keracunan makanan terjadi, pengendali makanan wajar menitikberatkan persediaan makanan yang selamat seperti basuh tangan dengan cara yang betul, memastikan ruang dan peralatan untuk memasak seperti pisau dan papan pemotong bersih, basuh sayur-sayuran di bawah air yang mengalir untuk membuang segala kekotoran seperti pasir terlebih dahulu sebelum dimasak, memasak makanan sehingga mendidih dan makanan mentah disimpan berasingan dengan makanan yang sedia dimakan.

Dr. Zafirah menasihatkan orang ramai agar sentiasa memeriksa tarikh luput makanan walaupun ia masih kelihatan baik dan mengikut arahan penyimpanan yang betul seperti yang disertakan pada setiap makanan.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here