Home Segmen Kesihatan PENYAKIT BATU KARANG BOLEH ROSAKKAN GINJAL JIKA TIDAK DIRAWAT

PENYAKIT BATU KARANG BOLEH ROSAKKAN GINJAL JIKA TIDAK DIRAWAT

142
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

Penyakit batu karang bukan sekadar sakit biasa yang datang dan pergi, jika tidak dirawat, ia boleh merosakkan sekaligus menggagalkan fungsi buah pinggang seseorang.

Namun begitu, masih ramai yang terleka apabila simptom sakit hilang, mereka menganggap batu karang keluar bersama air kencing, tetapi pada hakikatnya penyakit tersebut mungkin masih membahayakan kesihatan.

Pakar Perunding Kanan Urologi, Jabatan Urologi Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, Dr. Noor Azam Nasuha berkata, individu yang mempunyai penyakit batu karang perlu menjalani pemeriksaan lanjut termasuk menjalani ultrasonogram atau CT Urogram bagi mengenalpasti keberadaan batu karang di dalam sistem urinari seseorang.

”Sekiranya seseorang mengatakan yang batu karang itu sudah keluar melalui air kencing, adalah penting untuk memastikan samaada batu karang lain itu masih ada atau tidak dalam sistem urinari seseorang. Status kesihatan ginjal seseorang pesakit itu juga penting bagi menentukan rawatan yang sesuai untuk mereka.

”Jika pesakit merasa sakit di bahagian belakang atau pinggang, kemungkinan batu karang itu mungkin berada di buah pinggang atau di saluran ureter. Jika batu karang berada di pundi kencing atau di saluran uretra, simptomnya mungkin seperti sakit ketika buang air kecil, sakit di ari-ari ataupun ketidakbolehan pesakit untuk kencing jika batu tersebut tersangkut di saluran uretra.

“Pesakit juga boleh datang dengan simptom jangkitan kuman buah pinggang yang serius ataupun kegagalan ginjal jika lambat mendapatkan rawatan,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di HRPZ II, di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Urologi HRPZ II, berkata terdapat juga pesakit yang tidak mempunyai simptom tetapi didapati mempunyai batu karang apabila menjalani ujian ultrasonogram pada sistem urinari.

”Ada sesetengah pesakit yang sakit sehingga berguling-guling dan biasanya itu adalah jenis sakit batu karang yang berada pada bahagian ureter, iaitu saluran yang terletak di antara buah pinggang dan pundi kencing, jika ini terjadi, pemeriksaan yang cepat harus dilakukan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

”Ada juga pesakit yang mengalami tahap kesakitan yang rendah, dan mereka menganggap ianya tidak berbahaya tetapi apabila dikenalpasti rupa-rupanya ginjal mereka sudah penuh dengan batu karang dan adakalanya ia telah merosakkan ginjal mereka,” katanya.

Selain itu, Dr. Noor Azam juga menyarankan pesakit batu karang agar mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi garam yang tinggi serta boleh meningkatkan kandungan asid urik seperti daging merah, makanan laut, budu, organ dalaman, kekacang dan sebagainya bagi mengurangkan risiko mendapat batu karang atau penyakit gout.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara rawatan untuk membuang batu karang adalah seperti ’extra-corporeal shockwave lithotripsy (ESWL)’, ‘percutaneous nephrolithotomy (PCNL)’ dan ’flexible ureterorenoscopy’ atau ‘retrograde intrarenal surgery (RIRS)’ ataupun untuk kes-kes yang sangat kompleks, pembedahan samada secara laparoskop atau ‘open stone surgery’ yang sangat jarang dilakukan di zaman ini.

“Bagi kaedah PCNL, kita perlu melakukan pembukaan kecil atau menebuk bahagian pinggang untuk mendapat ases terus ke buah pinggang tersebut dalam keadaan pesakit yang dibius sepenuhnya, dengan kamera khas serta alat pemecah yang khas dan batu ini akan dikesan dan dipecahkan sebelum dikeluarkan dalam ketulan yang kecil atau disedut dalam bentuk pasir.

”Namun, sekiranya batu itu terlalu besar, satu tebukan sahaja mungkin tidak cukup, dan pada masa sama, kita akan tebuk untuk kali yang kedua,” katanya.

Bagi batu karang bersaiz kurang daripada satu sentimeter, ia tidak memerlukan prosedur pembedahan, sebaliknya hanya perlu dipantau sahaja jika ia tidak menyebabkan masalah kepada pesakit tersebut.

“Kebarangkalian penyakit batu karang boleh terjadi semula dengan peratusan 25 peratus dalam tempoh lima tahun, serta 50 peratus dalam jangka masa 10 tahun, namun ia juga bergantung pada pemakanan individu tersebut,” katanya.

Katanya, bagi mengelakkan pembentukan semula batu karang atau penyakit itu berulang, orang ramai disarankan untuk minum air dalam kuantiti mencukupi iaitu antara dua hingga tiga liter sehari.

Selain itu, pengawalan pemakanan seperti yang dinyatakan sebelum ini amat penting, di samping menjalani pemantauan berkala oleh Pakar Urologi bagi mengesan serta merawat batu karang lebih awal sebelum ia menyebabkan komplikasi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here