Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang penuntut kolej wanita berusia 19 tahun yang ditemukan mati dengan 61 kesan tikaman di Ketereh tengah malam Jumaat, dipercayai dibunuh dalam kereta sebelum mayatnya diletakkan atas jalan di Kampung Simah, Ketereh.
Mangsa yang berasal dari Perak itu difahamkan keluar makan bersama dua suspek yang ditahan.
Dia dikatakan keluar bersama seorang suspek dengan menaiki kereta Honda City pada sebelah siang dan keluar makan dengan suspek kedua dipercayai suspek utama dengan menaiki kereta Perodua Bezza pada sebelah malam.
Lokasi kedai makan itu adalah di Wakaf Bharu, Tumpat dan mangsa sempat memuat naik status makanan di whatsApp sekitar jam 11 malam sebelum mayatnya ditemui jam 12.30 tengah malam itu.
Bagaimanapun, polis sudah merampas kedua-dua kenderaan yang dinaiki mangsa.
Menurut sumber, pasangan suami isteri yang merupakan warga emas yang ditahan adalah ibu bapa kepada seorang daripada suspek.
Manakala, dua remaja lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian penuntut kolej wanita dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh tengah malam kelmarin, direman tujuh hari, dan dua lagi suspek masing-masing wanita berusia 60 tahun dan lelaki berusia 66 tahun direman tiga hari.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Semalam media melaporkan, mayat seorang wanita yang ditinggalkan di Ketereh, tengah malam semalam mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.
IMedikel TV






