Home Luar Negara PENJAGA DIBAHAM SINGA DI ZOO SAFARI DI BANGKOK

PENJAGA DIBAHAM SINGA DI ZOO SAFARI DI BANGKOK

BANGKOK: Seorang penjaga zoo maut dalam serangan singa di Thailand, kata pegawai pada Rabu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan dan kesahihan pemilikan singa di taman safari itu.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, serangan itu berlaku di Safari World Bangkok, yang menjadi sebagai salah sebuah zoo terbuka terbesar di Asia.

Taman safari itu menawarkan pakej memberi makan kepada singa dan harimau dengan bayaran 1,200 baht (kira-kira RM160) seorang.

Pengarah Perlindungan Hidupan Liar Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan, Sadudee Punpugdee berkata, “Mendiang adalah seorang kakitangan zoo yang biasanya memberi makan kepada singa-singa”.

Katanya, lelaki itu dipercayai dibaham oleh enam atau tujuh haiwan pemangsa itu sejurus melangkah keluar dari keretanya.

Safari World mengesahkan kematian kakitangannya dan berkata dalam satu kenyataan, “pihak kami akan segera mengkaji semula dan memperketatkan langkah keselamatan bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.”

Seorang doktor dan pengunjung zoo yang menyaksikan serangan itu, Tavatchai Kanchanarin berkata, “seorang lelaki keluar dari kereta tidak berbumbung dan berdiri seorang diri membelakangi haiwan-haiwan itu, yang saya fikir adalah pelik.”

“Dia berdiri selama kira-kira tiga minit, kemudian seekor singa berjalan perlahan-lahan dan menerkamnya dari belakang. Dia tidak menjerit,” katanya kepada media tempatan, televisyen Thairath.

Sementara itu, Edwin Wiek dari kumpulan pemuliharaan Wildlife Friends Foundation Thailand menyifatkan insiden itu sebagai peringatan tegas bahawa haiwan liar tetap berbahaya walaupun dibesarkan oleh manusia sejak lahir.

Seorang pegawai kanan zoo yang tidak dinamakan memberitahu media tempatan bahawa semua singa di taman itu berlesen dan pihak pengurusan sentiasa menekankan peraturan keselamatan kerana bekerja dengan haiwan berbahaya.

Pegawai itu menambah, mangsa yang bekerja sebagai penyelia zoo selama lebih 30 tahun, adalah “seorang lelaki yang baik hati.”

Pemilikan singa adalah sah di Thailand dengan hampir 500 didaftarkan di seluruh negara. Susulan insiden itu, pertubuhan hak asasi haiwan, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) menggesa Safari World memindahkan singa terbabit ke sebuah santuari. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here