Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran memperkukuhkan kerjasama strategik bagi menangani peningkatan kes Diabetes Jenis 2 yang kini dikesan dalam kalangan kanak-kanak seawal usia 14 tahun.
Timbalan Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Janarthanan Velliathum berkata, peningkatan kes penyakit yang dahulunya lebih sinonim dengan golongan dewasa itu perlu dipandang serius kerana generasi muda merupakan aset penting negara.
Menurutnya, peningkatan kadar obesiti, tabiat pemakanan yang tidak sihat, pengambilan makanan serta minuman tinggi gula dan gaya hidup yang kurang aktif dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada trend membimbangkan itu.
“Isu ini bukan sekadar melibatkan aspek kesihatan, malah memberi kesan kepada pembangunan modal insan dan produktiviti negara pada masa hadapan.
“Justeru, KPM dan KKM perlu memperkukuhkan kerjasama secara menyeluruh dan berterusan bagi memastikan usaha pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerjasama itu juga perlu melibatkan ibu bapa, guru, pertubuhan belia serta masyarakat bagi memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam membendung peningkatan kes berkenaan.
“Antara langkah yang dicadangkan ialah memperluaskan program saringan kesihatan secara berkala di semua sekolah bagi mengesan faktor risiko lebih awal, selain memperkukuhkan pendidikan kesihatan dan pemakanan sihat dalam kurikulum sekolah,”katanya.
Katanya, kempen kesedaran mengenai bahaya pengambilan gula berlebihan, obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD) juga perlu dipertingkatkan, di samping memastikan semua kantin sekolah menawarkan makanan dan minuman yang lebih sihat serta mematuhi garis panduan pemakanan yang ditetapkan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya aktiviti sukan dan senaman diperkasakan secara konsisten menerusi program bersama antara KPM dan KKM bagi membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan pelajar.
Janarthanan berkata, pendidikan kesihatan perlu bermula di sekolah dan diteruskan di rumah dengan sokongan ibu bapa.
“Apabila KPM dan KKM berganding bahu bersama ibu bapa serta masyarakat, kita mampu melahirkan generasi yang lebih sihat, cergas dan berdaya saing.
“Kita juga menyeru ibu bapa agar menjadi contoh kepada anak-anak dengan mengamalkan gaya hidup sihat, menyediakan pemakanan seimbang di rumah serta mengurangkan pengambilan makanan dan minuman tinggi gula.
“Generasi yang sihat hari ini adalah asas kepada Malaysia yang lebih maju pada masa hadapan. Kesihatan bukan sekadar tanggungjawab individu, sebaliknya amanah bersama yang memerlukan komitmen semua pihak,” katanya.
Beliau menegaskan Belia PPP komited menyokong segala usaha kerajaan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat serta bersedia bekerjasama dengan KPM, KKM dan pertubuhan masyarakat dalam melaksanakan pelbagai program kesedaran kesihatan bagi memastikan generasi muda Malaysia membesar dalam persekitaran yang lebih sihat dan berkualiti.
IMedikel TV






