Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang pemilik restoran mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan mempamerkan logo halal tidak sah di sebuah premis di Jalan Temengong, Kota Bharu pada November lalu.
Orang Kena Saman (OKS) Lim Beng Hee, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah selepas pertuduhan dibacakan.
OKS didakwa memerihalkan makanan sebagai halal tanpa memiliki apa-apa kebenaran atau perakuan sah daripada pihak berkuasa di restoran miliknya pada jam 12.46 tengah hari pada 18 November tahun lalu.
Bagaimanapun OKS membayar ikat jamin RM8,000 dan mahkamah menetapkan 13 Mei sebagai tarikh sebutan semula bagi fakta dan hukuman.
Perlakuan lelaki terbabit didapati melanggar Perintah 4(1)(a) & (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011), Akta Perihal Dagangan 2011 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Perintah 8 (b) Perintah yang sama dan boleh dihukum di bawah Perintah 8 (B) Perintah yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Perintah 8 (B) – Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011) yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammadi Iman Masjuri, manakala OKS tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius, namun Beng Kee memohon jaminan dikurangkan kerana wang tidak mencukupi.
Hakim kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Semakan KPDN mendapati premis terbabit pernah memohon sijil halal pada 2021 tetapi tidak lulus.
IMedikel TV






