Home Buletin Semasa PEMBAKARAN TERBUKA: JAS KELUARKAN NOTIS KEPADA PEMILIK TAPAK SAMPAH HARAM

PEMBAKARAN TERBUKA: JAS KELUARKAN NOTIS KEPADA PEMILIK TAPAK SAMPAH HARAM

192
0

ISKANDAR PUTRI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram di Ulu Choh, Gelang Patah, di sini.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata notis dikeluarkan susulan pembakaran terbuka di tapak pembuangan haram itu.

“JAS sudah mengeluarkan notis menghentikan pembakaran terbuka kepada pemilik tanah persendirian di kawasan Ulu Choh berikutan tapak tanahnya itu dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

“Mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar, berkata beliau telah mendapat banyak aduan berkaitan masalah kebakaran terbuka timbunan sampah-sarap haram di Ulu Choh.

Berikutan itu, beliau bersama JAS Johor telah melakukan lawatan tapak bagi mengenal pasti punca dan menyelesaikan masalah kebakaran terbuka ini.

“Masalah kebakaran terbuka timbunan sampah sarap di tapak pelupusan sampah haram termasuk di Ulu Choh semakin menjadi-jadi dan telah mengganggu kesihatan penduduk sekitar.

“Oleh itu, satu jawatankuasa pasukan khas akan diwujudkan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT), JAS, SWCorp Sdn Bhd, pejabat daerah dan pemilik tanah bagimencari jalan penyelesaian memastikan kerja pembersihan sampah di tapak itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Sumber BH Online

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here