Home Buletin Semasa PELEPASAN IKAN KELI AFRIKA DI TASIK MAEPS: DOF PERINGAT RISIKO KEPADA EKOSISTEM

PELEPASAN IKAN KELI AFRIKA DI TASIK MAEPS: DOF PERINGAT RISIKO KEPADA EKOSISTEM

599
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

SERDANG: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memandang serius isu pelepasan kira-kira 1,300 spesies ikan keli Afrika (Clarias gariepinus) ke dalam Tasik MAEPS, di sini, pada Khamis lalu.

Menurut kenyataan susulan aduan orang awam berhubung pelepasan ikan bukan natif itu, satu lawatan tapak dan sesi libat urus diadakan pada Jumaat.

“Hasil siasatan mendapati sebanyak 2,000 kilogram (kg) ikan keli Afrika, dianggarkan sekitar 1,300 ekor dengan berat purata 1.5 kilogram seekor, dilepaskan ke dalam tasik berkenaan pada 29 Mei lalu oleh pihak penganjur, tanpa sebarang pemakluman atau permohonan mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Perikanan Negeri Selangor.

“Pelepasan ikan itu berlaku sempena Pertandingan Memancing anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam Program Showtech 2025,”menurut kenyataan pada Jumaat.

Pelepasan spesies asing seperti ini boleh mengancam keseimbangan ekosistem akuatik, membahayakan spesies ikan tempatan dan menjejaskan sumber perikanan negara dalam jangka panjang.

“Jabatan kini sedang memperkukuh kawal selia aktiviti pelepasan ikan melalui penggubalan peraturan baharu dan hebahan kesedaran menerusi media massa dan elektronik,” menurut kenyataan tersebut pada Sabtu.

Lawatan yang membabitkan wakil DOF, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan syarikat urusetia pertandingan memancing mendapati tasik berkenaan dilengkapi sistem kawalan air yang baik, termasuk kolam mendapan (sedimentation pond), jaring dua inci di bahagian saliran keluar, serta kawasan sambungan tertutup.

Spesies pemangsa semula jadi seperti memerang dan biawak juga dikenal pasti wujud di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beberapa langkah mitigasi sudah dipersetujui.

“Pihak syarikat urusetia akan memasang jaring hapa tambahan, menyediakan tong pengumpulan ikan keli Afrika yang ditangkap semasa pertandingan, menyediakan bahan hebahan kesedaran, serta melaksanakan aktiviti memancing secara aktif dan berterusan sepanjang program berlangsung,”menurut kenyataan itu.

DOF menyeru agar semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan penganjur acara merujuk kepada Pejabat Perikanan Negeri sebelum melaksanakan sebarang aktiviti pelepasan ikan ke dalam perairan awam.

Komitmen bersama amat penting untuk memelihara khazanah biodiversiti negara dan memastikan tindakan yang diambil selari dengan prinsip kelestarian alam sekitar.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here