Home Hiburan PELAWA ARTIS MAIN KFC

PELAWA ARTIS MAIN KFC

156
0

Sempena program Santai Seni @TAR, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) melancarkan pasukan bola sepak dan jersi rasmi, Karyawan Football Club (KFC) yang berlangsung di hadapan panggung wayang ikonik, Coliseum, Kuala Lumpur.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, sebelum ini persatuan itu mempunyai biro sukan yang aktif sejak ditubuhkan kira-kira 20 tahun lalu.

“Sebelum ini, biro sukan Karyawan menerima pelbagai jemputan perlawanan persahabatan dari seluruh negara terutama dalam bola sepak dan boling.

“Namun, aktiviti itu terhenti agak lama disebabkan pelbagai keadaan terutama ketika pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu.

“Justeru, penyanyi, Hairee Kool selaku kapten dan koordinator pasukan mencadangkan pasukan bola sepak Karyawan diaktifkan semula dengan menampilkan barisan pemain yang terdiri daripada selebriti tanah air,” katanya.

Freddie berkata, majlis pelancaran pasukan bola sepak dan jersi rasmi KFC itu untuk menarik lebih ramai ahli untuk menyertai aktiviti berkenaan.

“Setakat ini, pasukan bola sepak Karyawan memiliki 18 pemain dari kalangan selebriti. Aktiviti ini juga memberi peluang selebriti yang tidak dapat tawaran menyanyi untuk menjana pendapatan dengan bermain bola sepak pula.

“Mungkin artis yang sudah lama tidak muncul boleh buat persembahan sikit selepas bermain bola sepak,” katanya.

Sementara itu, Hairee berkata, objektif pasukan bola sepak Karyawan ditubuhkan adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan artis, sekali gus menjalani aktiviti sihat. Ia juga ruang untuk peminat bertemu barisan pemain selebriti di padang bola sepak.

“Dalam masa sama, biro sukan Karyawan turut menjemput ikon bola sepak negara iaitu Datuk Dollah Salleh, Datuk Subadron Aziz dan Faiz Subri sebagai penasihat pasukan.

“Mereka juga akan turut membuat penampilan dalam mana-mana siri perlawanan yang bersesuaian,” katanya.

Hairee berkata, pihaknya akan mengenakan kadar bayaran tertentu kepada pihak yang berminat mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan bola sepak Karyawan.

“Kami juga mengalu-alukan tajaan dari mana-mana syarikat. Setakat ini, pasukan KFC juga menerima tajaan dari Panca Abadi Automobil Sdn Bhd dan jenama selipar premium ANH.

“Barisan pemain selebriti juga akan menerima bayaran untuk perlawanan persahabatan dan sebahagiannya dimasukkan ke Tabung Kebajikan Karyawan bagi membantu artis yang memerlukan bantuan,” katanya.

Selain Hairee, selebriti yang akan mewakili pasukan KFC ialah Lan Zainal, Raja Izzuwin, Riyad, Taufik Khan, Along Jeff, Betto Khai, Daniel, Meerqeen, Riot Kool, Tony Tuah, Aidil Aziz, Hasnol, Shah Slam, Johan Raja Lawak, Wan, Anye Yassin, Shahrul, Azrul, Osama Yamani dan Mamak Raja Lawak.

Mana-mana pihak yang ingin menjemput pasukan KFC bagi perlawanan persahabatan boleh menghubungi terus Koordinator pasukan, Hairee di talian 011-64595069. – HMetro Online –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here