Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan I Medikel TV
KOTA BHARU: Sebuah mesin tong sampah yang dinamakan ‘Drainity’ dicipta oleh empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong dalam Pertandingan Teknologi Terulung, Malaysia Techlympics 2023.
Seorang pelajar, Nurul Alya Fatini Mohamed Fazlie, 16, berkata, mesin ‘Drainity’ itu dicipta untuk mengelakkan berlakunya masalah longkang tersumbat yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Katanya, mesin itu berfungsi untuk mengutip sampah dengan kuantiti yang banyak di kawasan sungai dan longkang.
“Drainity ini berfungsi mengikut sensor imej yang mana ia akan mengesan sampah melalui ESG 32 dan menghantar kepada mikro pengawal.
“Mikro pengawal pula berfungsi menggunakan motor dan tali sawat untuk bergerak dan mengutip sampah tersebut,”katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2023 dan Malaysia Techlimpycs 2023 Peringkat Zon Timur, di Dewan Jubli Perak, di sini, baru-baru ini.
Alya berkata, dia berjaya menghasilkan ‘Drainity’ tersebut bersama tiga rakannya , Raniah Nor Nabil, 14, Maryam Mohd Hafiz, 14, Zeti Akmal Jafri, 14.
Tambahnya, pada permulaan mesin itu dihasilkan, idea mereka telah ditolak oleh guru yang mengajarnya.
“Cikgu tidak menerima idea daripada kumpulan ini kerana kurang menarik namun selepas saya dan rakan-rakan yang lain menambahbaik ‘Drainity’ ini, alhamdulillah cikgu menjadi amat teruja dengan produk yang dihasilkan,”katanya.
IMEDIKEL TV






