Home Buletin Semasa PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT REMPUH KERETA BERHENTI DI LORONG KECEMASAN

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT REMPUH KERETA BERHENTI DI LORONG KECEMASAN

KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia awal 20-an maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 8.1 Lebuhraya Rakyat Kota Bharu-Ketereh, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Beat dari arah Kota Bharu menghala Ketereh dipercayai melanggar kereta jenis Proton Saga berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kereta itu berhenti di lorong kecemasan tanpa meletakkan sebarang papan tanda kecemasan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Azmir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Izzati Mohamad Rosli menerusi talian 09-775 2315.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mematuhi undang-undang dan isyarat lalu lintas yang berkuat kuasa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here